[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ALbKTPUGlLY[/embedyt]
PUTRAJAYA, 19 Jul – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany hari ini menegaskan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ampuh merupakan kunci utama dalam melindungi kedaulatan negara.
Menurut beliau, kepentingan negara pada masa kini dan masa hadapan amat dipengaruhi oleh keadaan persekitaran keselamatan yang tidak menentu.
“Ia amat dipengaruhi oleh keadaan persekitaran keselamatan yang bersifat sentiasa berubah, tidak menentu, rumit dan samar (Volatility, Uncertainty, Complexity and Ambiguity ,VUCA),” katanya semasa Sesi Plenary Pertama Persidangan Keselamatan Negara 2022 di Marriot, Putrajaya, hari ini.
Jelas Panglima Tentera Laut, ancaman tradisional dan bukan tradisional tidak mungkin dapat diatasi dalam masa yang terdekat dengan melihat situasi persekitaran yang meruncing.
“Keadaan ini diburukkan lagi dengan pergeseran kuasa-kuasa besar di mana Laut China Selatan bakal menjadi gelanggang perbalahan,
“Secara tidak langsung kita akan menerima padahnya,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Mohd Reza turut menegaskan kesiagaan dan keupayaan ATM perlu berada di tahap yang tertinggi pada sebilang masa.
“Pembangunan kuasa ketenteraan yang mampan amat diperlukan walaupun akan mengambil masa yang lama di samping ia adalah pelaburan yang signifikan,
“Perancangan perolehan yang ampuh untuk direalisasikan sepenuhnya mulai sekarang bagi membolehkan keupayaan cegah rintang ATM mampu memelihara kedaulatan negara,” katanya.
Beliau menambah, segala situasi kemungkinan yang akan mengancam kedaulatan negara memerlukan tindakan ‘Whole of Government, Whole of Society’ (WoGoS). Konsep ini adalah penting bagi memantapkan aspek pemeliharaan kedaulatan melalui pendekatan “Keselamatan Menyeluruh” (ComSec) yang menjadi salah satu teras Dasar Keselamatan Negara 2021-2025.
Beliau menegaskan 2 aspek perlu diberikan penekanan bagi mendepani cabaran semasa dan akan datang.
“Peruntukan untuk pertahanan negara perlu dikaji semula agar selaras dengan landskap keselamatan negara,
“Konsep WoGoS haruslah diadaptasi dengan lebih sempurna bagi memantapkan lagi kerjasama di antara semua pihak,
“Sekiranya kita mampu untuk capai kedua-dua aspek tersebut, saya yakin ATM bukan sahaja berkeupayaan untuk lunjurkan kuasa ketenteraannya,
“Ia turut dapat mengimbangi kuasa diplomatik yang dihasratkan oleh negara. Theodore Roosevelt pernah berkata speak softly but carry a big stick,” katanya.
Panglima Tentera Laut turut menyatakan cegah rintang sememangnya akan memerlukan perbelanjaan.
“Deterrence cost money, fighting a war cost more money, losing a war cost even more money,” tegasnya. – airtimes.my