Home Semasa Kabinet PH tak pernah bincang isu tuntutan waris Sulu – Najib

Kabinet PH tak pernah bincang isu tuntutan waris Sulu – Najib

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Jul – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang menyalahkannya berhubung isu tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah, sedangkan kesilapan paling besar dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah, beliau menegaskan, kabinet kerajaan PH sebenarnya yang bertindak cuai terhadap isu tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah itu.

“Kerajaan PH yang tidak pernah berbincang dan memberi maklum balas terhadap isu ini sepanjang tempoh pemerintahan mereka selama 18 bulan,

“Ia termasuklah bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mengeluarkan surat luar biasa, bodoh kepada wakil Sulu dan telah digunakan sebagai bukti oleh pihak lawan bahawa Malaysia sudah mengaku salah,” jelas Najib menerusi hantaran di media sosialnya pada Selasa.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menyindir tindakan Rafizi yang mengarahkan pemimpin PKR membuat laporan polis terhadapnya di seluruh negeri bermula hari ini.

Jelasnya, tindakan membuat lebih 100 laporan dengan menggunakan templat Rafizi yang sama bermaksud kesannya seperti 1 laporan sahaja.

“Jadi, apa gunanya nak buat 100 laporan polis yang sama? Banyak masa terluang geng ini agaknya?

“Menyusahkan polis. Akhirnya semua dihantar ke satu balai sahaja untuk siasat sebab benda sama. Benda copy paste,

“Setelah siasat mungkin lebih 100 orang akan didakwa buat laporan palsu sebab yang cuai ialah kerajan PH,” tambah hantaran itu.

Terdahulu, Rafizi, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekab Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah membuat laporan polis berkenaan isu terbabit di Balai Polis Setiawangsa pada jam 11 pagi tadi.

Rafizi menjelaskan, sebagai Perdana Menteri ketika itu, Najib sepatutnya tahu tindakan undang-undang akan dibuat oleh waris Kesultanan Sulu tetapi tiada tindakan sewajarnya diambil.

Menurutnya, tuntutan itu bermula ekoran keputusan pentadbiran beliau untuk menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu pada 2013.

“Sepatutnya, sebagai Perdana Menteri Najib tidak boleh cuai. Najib perlu memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan bayaran itu dihentikan,

“Keputusan itu kemudian mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap Kerajaan Malaysia,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!