Home SemasaGlobal Serang Crimea jika mahu kiamat berlaku – bekas Presiden Rusia

Serang Crimea jika mahu kiamat berlaku – bekas Presiden Rusia

by M.Daim

MOSKOW, 18 Jul – Bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev memberi amaran sebarang serangan terhadap wilayah Crimea akan mencetuskan konflik yang lebih besar.

Menurut beliau, keengganan Negara Barat dan Ukraine untuk mengiktiraf hak Moskow terhadap Ukraine merupakan satu ancaman besar.

“Sekiranya perkara tersebut (serangan terhadap Crimea) berlaku, mereka akan berhadapan dengan kiamat dengan segera,

“Tiada cara untuk mengelak daripada menerima padah (untuk menyerang Crimea). Tetapi masih ada yang cuba memprovokasi untuk berbuat demikian,” kata Medvedev dalam satu pertemuan dengan Veteran Perang Dunia Kedua di Volgograd.

Menurut laporan TASS, Medvedev yakin Rusia mampu untuk mencapai objektifnya di Ukraine.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia (Russian Security Council) sebelum ini menyatakan Moskow tidak boleh memandang ringan akan ancaman NATO.

“Kita perlu belajar dari sejarah. Tetapi kita juga perlu bersedia bahawa sesetengah negara tertentu tidak mengambil pengajaran dengan apa yang telah berlaku,” ujar beliau.

Medvedev beri amaran peperangan skala besar akan tercetus sekiranya Crimea diserang.

Terdahulu, stesen televisyen Ukraine menyiarkan wawancara dengan jurucakap Perisikan Tentera Ukraine berhubung kemungkinan penggunaan sistem artileri roket HIMARS terhadap Crimea.

Menurut beliau, Rusia telah melancarkan serangan terhadap Ukraine dari Crimea dan Laut Hitam, yang sekaligus menjadikan ia sebagai sasaran yang sah.

Crimea merupakan wilayah autonomi di bawah Ukraine selepas kejatuhan Kesatuan Soviet (USSR) pada 1991. Wilayah ini menempatkan pangkalan utama tentera laut USSR di Laut Hitam.

Moskow mengiktiraf penguasaan Kyiv terhadap Crimea melalui satu perjanjian yang dimeterai pada tahun 1997.

Wilayah ini kemudiannya diilhak (annex) oleh Rusia pada tahun 2014 selepas Parlimen Crimea meluluskan referendum untuk meletakkan wilayah itu di bawah pentadbiran Moskow.

Sehingga hari ini, Ukraine masih menuntut Crimea sebagai sebahagian daripada wilayahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!