Home Semasa Isu kemiskinan tegar dan harga barangan pembuka sidang Parlimen hari ini

Isu kemiskinan tegar dan harga barangan pembuka sidang Parlimen hari ini

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 18 Jul – Isu kebajikan rakyat dan harga barangan antara perkara menjadi tumpuan dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada hari ini.

Isu dan langkah penyelesaian miskin tegar merupakan soalan pertama yang akan dibangkitkan dalam sesi soal jawab lisan.

Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh meminta Perdana Menteri untuk menyatakan bilangan rakyat Malaysia yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi tempoh 2020 hingga terkini 2022.

“Nyatakan apakah langkah Kerajaan bagi menghapuskan kemiskinan tegar di kalangan rakyat negara ini serta nyatakan setakat manakah pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Perdana Menteri untuk menjelaskan langkah yang dirangka oleh kerajaan bagi menstabilkan harga barangan.

“Nyatakan langkah-langkah yang diambil untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan supaya kekal pada harga mampu milik kepada rakyat,” kata Anwar.

Dalam pada itu, isu banjir di Kuala Lumpur akan dijawab oleh Menteri Wilayah Persekutuan semasa sesi soal jawab lisan.

Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Bukit Bintang meminta penjelasan dari Kementerian Wilayah berhubung elan jangka panjang dan jangka pendek untuk memastikan Kuala Lumpur bebas daripada banjir termasuk banjir kilat.

Sementara itu, Mohamad Sabu meminta Kementerian Luar untuk menyatakan tindakan yang diambil oleh kerajaan bagi membendung kesan perang Ukraine-Rusia yang berlaku semenjak 24 Februari lalu.

“Apakah langkah susulan Perang Rusia-Ukraine yang telah berlaku sejak Februari lalu, apakah langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan untuk membendung kesan secara tidak langsung khususnya kepada ekonomi akibat daripada perang tersebut,

“Apakah usaha yang dilakukan oleh Kerajaan untuk memastikan rantau ini tidak akan terlibat secara langsung dalam mana-mana proksi yang akan memberi kesan buruk kepada negara,” kata Ahli Parlimen Kota Raja.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas Dewan Rakyat akan berlangsung selama 12 hari mulai hari ini dan tamat pada 4 Ogos. Sementara itu, Dewan Negara akan mula bersidang selama 6 hari mulai 8 Ogos dan berakhir pada 16 Ogos. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!