Home Semasa Polis tahan lelaki hina Islam, Nabi Muhammad di media sosial

Polis tahan lelaki hina Islam, Nabi Muhammad di media sosial

by Nurulhuda

SEPANG, 17 Jul – Pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang disyaki menghina agama Islam di media sosial di rumahnya di Taman Bukit Kuchai, Puchong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Beliau menjelaskan, suspek yang juga duda dan bekerja sebagai penghantar makanan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang untuk permohonan reman esok.

“Video tular itu memaparkan suspek menghina Allah, agama Islam dan bangsa Melayu pukul 3.28 pagi tadi,

“Susulan itu, kami menerima 6 laporan polis oleh orang awam dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki dikatakan menghina Nabi Muhammad, Allah serta agama Islam dan turut mencabar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan untuk bersemuka dengannya.

Tular sebuah video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki dikatakan menghina Nabi Muhammad, Allah serta agama Islam dan turut mencabar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan untuk bersemuka dengannya awal pagi tadi.

Kemudian, tular pula beberapa klip video yang memaparkan lelaki terbabit dipukul di hadapan rumahnya oleh beberapa individu yang tidak dikenali, dipercayai berpunca daripada cabarannya itu.

Wan Kamarul berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan suspek untuk merakam video berkenaan dan semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah lampau serta ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

Dalam masa yang sama Wan Kamarul Azlan turut menasihatkan orang awam supaya menghentikan sebarang spekulasi mengenai isu berkenaan dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!