JOHOR BAHRU, 14 Jul – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 berjaya menahan seorang lelaki warganegara tempatan dan merampas 327.24 liter arak dipercayai tidak bercukai Kastam pada Rabu.
Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Polis (ACP) Muhd Zailani Abdullah berkata, anggota pemantau di kawasan persisir pantai Forest City, Tanjung Kupang telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan pada jam 1 tengah hari.
Jelasnya, pasukan serbuan telah berjaya menahan serta memeriksa kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan disaksikan oleh suspek telah menjumpai pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai kastam di bahagian tempat duduk belakang dan but belakang kenderaan,
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan arak dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM131,728.10,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial PPM Wilayah 2 malam tadi.
Muhd Zailani menjelaskan, tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Markas PPM W2 Johor untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, penyeludupan minuman keras sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.
“Masyarakat diminta segera menghubungi dan berkerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu penyeludupan,” jelasnya. -airtimes.my