Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 4 kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

APMM tahan 4 kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

by Air Times News Network

KOTA TINGGI, 14 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili berjaya menahan 4 kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur sejak 7 Julai lalu.

Pemangku Pengarah APMM Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal pertama ditahan pada kedudukan 15 batu nautika (BN) Timur Tanjung Lompat yang didaftarkan dari Zanzibar pada 7 Julai jam 10.15 pagi.

“Kapal kedua telah ditahan di kedudukan 27 BN timur Tanjung Sedili Kechil pada 8 Julai jam 3 petang didaftarkan dari Bangkok serta kapal ketiga dari Malaysia di kedudukan 16 BN timur laut Tanjung Penawar pada 10 Julai jam 5.30 petang,

“Manakala kapal terakhir didaftar dari Singapura ditahan di kedudukan 12.5 BN timur Tanjung Lompat pada 13 Julai jam 11.50 pagi,” jelas beliau.

Menurutnya, kesemua kapal yang berjaya ditahan itu telah dikendalikan oleh 43 orang kru termasuk nakhoda kapal.

“Mereka terdiri dari warganegara Indonesia, Myanmar, Thailand, Singapura dan berusia dalam lingkungan 24 hingga 64 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,

“Ketika pemeriksaan dijalankan kesemua kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Laut Malaysia,” ujarnya.

Mohd Najib menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu, penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kapal terakhir semalam menjadikan penahanan ke 25 bagi kes seumpama itu bagi tahun ini dan pengusaha perkapalan dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!