Home Semasa Mahkamah Rayuan Paris gantung Final Award waris Sultan Sulu, Malaysia kekal berdaulat

Mahkamah Rayuan Paris gantung Final Award waris Sultan Sulu, Malaysia kekal berdaulat

by M.Daim

PUTRAJAYA, 13 Jul – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menegaskan Malaysia akan pertahankan kedaulatannya melalui tindakan perundangan di mahkamah antarabangsa.

Beliau menyatakan Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bertarikh 28 Februari 2022 yang telah dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa (Perintah Penggantungan).

“Asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah Final Award tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia,

“Perintah Penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bermula dari Tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan,

“Ini bagi memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Tambah Wan Junaidi, Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris sekaligus menyebabkan Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris.

“Berikutan kejayaan Kerajaan Malaysia pada 12 Julai 2022, Kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan,” ujar beliau.

Semalam, 2 syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh mahkamah negara itu.

Media antarabangsa, Financial Times melaporkan tuntutan rampasan aset tersebut adalah bernilai US$2bilion (RM8.9 bilion).

Petronas turut mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus telah menerima notis Saisie-arret (Notis Rampasan) hasil keputusan timbang tara oleh Mahkamah Luxembourg.

Mengulas isu tersebut, Wan Junaidi menegaskan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan yang dikemukakan oleh waris Sultan Sulu.

“Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf Tuntutan tersebut dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat,” ujar beliau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!