KOTA KINABALU, 13 Jul – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 9,690 kilogram (kg) minyak masak paket dan 5 ribu liter diesel di Sungai Kolapis, pada Selasa.
Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, hasil risikan selama 3 minggu itu, serbuan telah dijalankan oleh anggotanya serta dibantu oleh Batalion ke 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran pada jam 3.30 petang.
“Ketika serbuah dilakukan seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah bagi menyimpan barang kawalan berkenaan,
“Lelaki berkenaan diperayai penjaga kapal ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelas beliau.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1,904,975 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan bagi tujuan melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” ujarnya.
Georgie menjelaskan, jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta manakala kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta serta kementerian akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengguna stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan. -airtimes.my