KOTA KINABALU, 2 Jul – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakar sejarah apabila seorang pegawai kanannya iaitu Laksamana Pertama Rohana Jupri menjadi wanita pertama dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Muda berkuatkuasa semalam.
Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut berkata, Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TLDM telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
“Dengan pemakaian pangkat ini, Rohana kini memegang jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Materiel di Markas Tentera Laut dan telah meletakkan beliau di barisan hadapan dalam kepimpinan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) yang telah dianggotainya sejak 18 Disember 2020,” katanya.
Sebelum ini, Rohana merupakan pegawai wanita pertama TLDM yang dinaikkan ke pangkat Kepten TLDM pada 27 September 2017 dan Laksamana Pertama pada 18 Disember 2020.
“Kenaikan pangkat ini membuktikan kemampuan dan kredibiliti warga wanita TLDM diiktiraf oleh pengurusan tertinggi,
“Ianya juga sebagai tanda penghargaan TLDM terhadap usaha dan kemampuan yang ditunjukkan oleh beliau sekali gus memberi tanggungjawab untuk melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan cemerlang,” ujarnya.
Mengulas lanjut, dengan pemakaian pangkat Rohana ini, peranan warga wanita TLDM kini semakin diketengahkan dan penyertaan wanita dalam TLDM juga telah meliputi semua kepakaran utama yang ada iaitu Eksekutif, Bekalan dan Kejuruteraan.
“Ruang dan peluang sentiasa diberikan kepada warga wanita TLDM untuk memegang jawatan-jawatan utama, sama pentingnya dengan warga TLDM yang lain,” jelasnya. – airtimes.my