MELAKA, 2 Jul – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Melaka menahan seramai 106 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam 3 serbuan berasingan melalui Ops Gegar dan Ops Sapu pada Khamis dan awal pagi semalam.
Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, hasil serbuan dijalankan di sekitar bandaraya Melaka dan Jasin itu, 9 daripadanya merupakan wanita terdiri daripada 7 warga Vietnam dan 2 warga Thailand berusia 22 hingga 37 tahun yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Tambahnya lagi, kesemua GRO yang ditahan mengenakan cas terhadap pelanggan sekitar RM400 hingga RM900 semalam mengikut pakej perkhidmatan yang ditawarkan.
Menurutnya, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen (AI) 1959/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963.
“Wanita warga Vietnam ditahan melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,
“Sementara itu, 2 warga Thailand ditahan kerana melakukan kesalahan dibawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anirwan Fauzee berkata, dalam Ops Sapu pula, sepasukan 67 pegawai dan anggota penguat kuasa JIM turut menyerbu dan memeriksa 225 warga asing di sebuah kawasan rumah kongsi di tapak pembinaan di Jasin.
“Hasil pemeriksaan, seramai 97 individu ditahan membabitkan 62 lelaki warga Bangladesh dan 35 warga Indonesia termasuk 4 wanita,
“Ketika serbuan ada warga asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam lori di kawasan pembinaan, namun mereka berjaya ditahan,” ujarnya.
Dalam serbuan tersebut, seramai 81 PATI disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Manakala 16 lagi disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa. – airtimes.my