KUALA LUMPUR, 30 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Royal Thai Army (Tentera Diraja Thai, RTA) terus memperkasakan hubungan pertahanan yang sedia ada terjalin di antara kedua-dua buah negara.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, perkara tersebut diterjemahkan dengan lawatan kerja Commander-in-Chief RTA, General Narongpan Jittkaewtae ke Malaysia pada hari ini.
“Lawatan Rasmi C-in-C RTA ke Malaysia dijadualkan akan berlangsung selama 2 hari bermula 30 Jun sehingga 1 Julai 2022, dan ia sebagai salah satu agenda strategik dalam mengukuhkan hubungan diplomasi pertahanan antara dua negara,” jelas TDM.
Menurut TDM, ketibaan beliau telah disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan diiringi oleh Timbalan PTD, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman serta pegawai-pegawai kanan TDM di Dataran Wisma Pertahanan.
“Kunjungan Commander-in-Chief Royal Thai Army telah disambut dengan istiadat ketenteraan dan menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD),
“Kawalan kehormat ini berkekuatan seramai 3 pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohd Syahril Jopri,” tambah TDM.
Tambahnya, General Narongpan turut dijadualkan untuk melakukan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
“Jalinan kerjasama di antara 2 negara serantau sejajar dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan,” ujarnya -airtimes.my