SARAWAK, 30 Jun – Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) telah mengadakan Gotong-Royong Perdana sempena memerangi wabak Aedes Peringkat Negeri Sarawak di Kem RASCOM, Kem Oya dan Kem Sri Miri pada Jumaat lalu.
Markas 9 Bgd menerusi hantaran di media sosialnya berkata, program ini melibatkan semua pasukan bawah naungan 9 Bgd bagi menyahut cabaran kerajaan Wilayah Sarawak dalam mencegah penyakit berjangkit.
Menurutnya, seramai 38 orang pegawai dan 700 anggota telah menyertai aktiviti ini.
“Aktiviti ini dilaksanakan bagi memastikan kawasan kem bawah naungan dalam keadaan bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes,
“Selain itu, secara tidak langsung akan mampu memperkasakan kesatuan, kerjasama dan sikap ambil peduli dalam menjaga kawasan persekitaran kem,” kata 9 Bgd.
Jelasnya, aktiviti ini telah menyasarkan beberapa tempat yang dikenalpasti berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Aktiviti tersebut juga berjaya memupuk semangat kerjasama yang tinggi dan sikap prihatin dalam kalangan warga 9 Bgd dalam mengekalkan kebersihan kawasan persekitaran kem mahupun tempat kediaman anggota,
“Aktiviti Gotong-Royong Perdana yang dilaksanakan ini adalah sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD yang Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga,” jelas hantaran itu. -airtimes.my