TAWAU, 29 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok putih bernilai RM40,000 dari negara jiran di perairan Tinagat, kelmarin.
APMM dalam hantaran di media sosialnya berkata, semasa rondaan bersepadu Op Pluto Timur/Op Sejahtera, bot ronda APMM telah mengesan sebuah bot laju mencurigakan bergerak dalam keadaan bergelap di kedudukan sekitar 0.5 batu nautika selatan Pulau Tinagat.
“Semasa diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, tekong bot bertindak memecut laju ke arah kawasan cetek bagi meloloskan diri dari ditahan,
“Semasa dikejar, bot suspek telah mengalami kerosakan enjin dan tekong bot telah bertindak terjun ke laut meninggalkan bot serta muatan,” katanya.
Menurutnya, usaha pasukan APMM mencari dan mengesan suspek gagal ekoran cuaca gelap dan perairan yang cetek di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan telah menemukan 6 kotak besar berisi lebih kurang 60,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai RM40,000 termasuk cukai,
“Kesemua rampasan termasuk bot dan enjin dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Tawau untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin bot serta muatan barangan disita dianggarkan berjumlah RM50,000. – airtimes.my