Home Semasa Pengerusi PPK: Tun Mahathir patut bantah kedudukan Apandi lebih awal – Wan Junaidi

Pengerusi PPK: Tun Mahathir patut bantah kedudukan Apandi lebih awal – Wan Junaidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, sebarang bantahan berkaitan kedudukan Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) sewajarnya dibangkitkan lebih awal untuk perhatian Kerajaan.

Beliau berkata demikian selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkeras tidak mahu memberi sebarang kerjasama kepada jawatankuasa itu selagi bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali menjadi pengerusinya.

Tun Mahathir berpendapat Apandi mempunyai percanggahan kepentingan dan sepatutnya menjadi saksi serta perlu diganti.

Wan Junaidi turut mempertahankan pelantikan Apandi Ali sebagai Pengerusi PPK Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Bantuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Pasukan petugas khas mengambil maklum dengan pendirian Tun Mahathir untuk tidak meneruskan sesi temubual saksi bersama Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance yang dijadualkan semalam,

“Kerajaan berpandangan tiada isu berbangkit berkaitan keputusan jemaah menteri pada 29 Oktober 2021 untuk melantik Apandi sebagai pengerusi pasukan petugas khas memandangkan pertimbangan sewajarnya dilaksanakan terhadap keputusan untuk menubuhkan pasukan tersebut,

“Oleh yang demikian, sebarang bantahan berkaitan kedudukan pengerusi pasukan petugas khas sewajarnya dibangkitkan lebih awal untuk perhatian kerajaan,

“Pasukan petugas khas ini dilantik dengan tujuan spesifik untuk meninjau dan mengkaji opsyen-opsyen perundangan untuk Malaysia serta menyiasat berkaitan penarikan rayuan kes ini di International Court of Justice (ICJ) pada 2018,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan sesi temu bual membabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara (JPN), tidak berlangsung seperti dirancang.

Tun Mahathir dilaporkan mempertikai kedudukan Apandi Ali sebagai pengerusi jawatankuasa itu dan menyifatkan satu tindakan tidak wajar.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi menjelaskan, PPK ini dilantik dengan tujuan spesifik bagi meninjau dan mengkaji opsyen-opsyen perundangan untuk Malaysia serta menyiasat berkaitan penarikan rayuan kes ini di ICJ pada 2018.

Jelasnya, pasukan ini telahpun menjalankan tugas mereka selama 7 bulan sehingga Laporan Interim telah disediakan dan Laporan Akhir serta tindakan susulan sedang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas tersebut.

“Adalah mustahil untuk saya bertindak sewenang-wenangnya tanpa sebarang justifikasi untuk mengeluarkan Tan Sri Dato’ Sri Apandi bin Ali sebagai Pengerusi apabila Jemaah Menteri membuat keputusan berkaitan pelantikan beliau,

“PPK hanya ingin mendengar dan mendapatkan pandangan mengenai situasi pada 2018 apabila Kerajaan menarik balik rayuan kes ini di ICJ,

“Tun Mahathir sedia maklum akan pelantikan Pengerusi PPK oleh Jemaah Menteri dan beliau sebenarnya boleh menolak untuk hadir ke sesi pagi semalam di Jabatan Peguam Negara,” jelasnya.

Sehubungan itu, tambahnya, tindakan Tun Mahahir itu telah mengejutkan panel penemubual dan perkara-perkara yang sepatutnya dapat dikongsikan beliau tidak dapat diperolehi oleh pasukan petugas khas.

Malah tegasnya, beliau berasa kecewa dengan tindakan Tun Mahathir yang tidak memberi kerjasama tetapi ingin menegaskan bahawa pasukan tersebut akan meneruskan komitmen dan tanggungjawab menghasilkan laporan akhir seperti mana yang dirancang.

“Ia selaras dengan tujuan penubuhannya iaitu untuk meneliti hala tuju berhubung kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta keputusan kerajaan pada tahun 2018 untuk menarik balik permohonan semakan dan permintaan tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!