PUTRAJAYA, 29 Jun – Pertubuhan Media Tentera Rakyat (MTR) akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
“Kita berhasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya 15 kawasan parlimen, di setiap negeri di seluruh Malaysia,” kata Presiden MTR, Mejar Zamri Abd Rahman (Bersara).
Menurut beliau, pihaknya telah sebulat suara untuk menggunakan platform politik dan pilihanraya bagi membawa suara bekas tentera dan polis serta rakyat untuk dibawa ke parlimen.
“Kami rasa dengan cara ini sahajalah suara kami akan didengar di parlimen dan diambil tindakan oleh kerajaan memerintah,” katanya kepada Air Times di Menara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Penasihat Kehormat MTR, Datuk Mohd Ali Baharom menyatakan pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan kemenangan secara ikhlas semasa PRU kelak.
Beliau yang juga dikenali sebagai Ali Tinju menegaskan, MTR mempunyai pengalaman luar biasa serta rangkaian hubungan yang baik.
“Pengalaman dan rangkaian MTR dengan pemimpin-pemimpin serta akar umbi menjadikan kami lebih dikenali,
“Respon mengenai hasrat kami untuk bertanding dalam PRU-15 telah diterima baik oleh golongan bekas tentera dan keluarga mereka,” katanya.
Menurut Ali Tinju, MTR akan mengetengahkan calon yang lebih kredibel, yang lebih dekat kepada rakyat untuk mewakili mereka.
“Kita akan tumpu beberapa kawasan yang boleh menang seperti Parlimen Tangga Batu, Port Dickson dan Lumut,
“Bekas tentera dan bekas polis siap sedia dari sekarang untuk gerakkan jentera. Kita bukan parti yang cari kemenangan rasuah rakyat,” katanya. – airtimes.my