KUALA LUMPUR, 29 Jun – “Perangai Atok (Tun Dr Mahathir Mohamad) sebiji dengan si Tommy (Tan Sri Tommy Thomas. Enggan beri kerjasama kepada kerajaan hari ini,” tegas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata demikian bagi merujuk tindakan Ahli Parlimen Langkawi yang meninggalkan inkuiri dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, semalam.
Tambahnya, tindakan itu sama seperti Tommy yang memaklumkan bahawa dia tidak akan bekerjasama dengan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” pada Januari lalu.
“Seperti laporan polis yang merupakan arahan RCI BNM (Suruhanjaya Siasatan Diraja Bank Negara Malaysia) ditarik balik oeh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut ketika Atok merupakan Perdana Menteri dan Tommy merupakan Peguam Negara,
“Jika begini, misteri kes kehilangan Pulau Batu Puteh, kes-kes mahkamah ke atas pemimpin PH digugurkan begitu sahaja, kes-kes pendakwaan terpilih dan kenapa hakim baharu yang langsung tiada pengalaman kes jenayah boleh pulak tiba-tiba dipindah ke mahkamah jenayah untuk ganti hakim bagi kes paling berprofil tinggi saya biarpun perbicaraan sudah bermula akan tetap menjadi misteri,” sindirnya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyifatkan tindakan Mahathir dan Tommy yang enggan memberikan kerjasama sebagai tidak menghormati RCI.
“Enggan beri kerjasama kepada kerajaan hari ini. Malah, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pun mereka tak hormat,” jelasnya.
Semalam, Tun Mahathir dilaporkan hadir untuk sesi temu bual dengan pasukan Pasukan Jawatankuasa khas Batu Puteh berkaitan isu Pulau Batu Puteh, namun meninggalkan pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC), sebagai tanda protes terhadap Apandi.
Tun Mahathir tetap bertegas tidak akan menghadiri sebarang pertanyaan panel selagi Apandi kekal sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau hanya sedia menjawab segala persoalan sekiranya Apandi ditukar dan pihak ketiga yang tidak mempunyai kepentingan dibawa masuk dalam siasatan
Mengulas lanjut, Najib menegaskan, Tun Mahathir juga perlu bertanggungjawab berhubung skandal dana BNM sebanyak RM33 bilion yang didakwa hilang begitu sahaja, malah tiada seorang pun yang pernah mengaku atas kehilangannya.
“Sekiranya pernah diberi tampuk kuasa, korang perlu bertanggungjawab dan menjelaskan pada negara dan rakyat. Itu baru jantan,” katanya.-airtimes.my