KUALA LUMPUR, 28 Jun – PAS hari ini menyarankan 3 langkah kepada kerajaan bagi mengatasi masalah harga barang dan kos sara hidup yang kian meningkat termasuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti pembangkang.
Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar segera bertindak mengatasi masalah itu kerana ia akan bertambah parah sekiranya tiada jalan penyelesaian yang tuntas dan holistik dalam masa terdekat.
“Selain mengadakan perbincangan bersama semua parti politik termasuk pembangkang, PAS juga mencadangkan kepada kerajaan agar bantuan tunai bulanan dikreditkan secara bersasar melalui kad pengenalan atau e-dompet kepada golongan B40 dan sebahagian M40 untuk membeli barang keperluan harian serta langkah ini adalah selaras dengan prinsip Islam,
“Kerajaan perlu memungut dan mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama. Pemberian bantuan tunai bulanan secara bersasar ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat yang jelas amat terkesan disebabkan oleh krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Beliau turut mencadangkan agar sidang Parlimen khas bagi membincangkan isu ini secara mikro untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penyelesaian daripada Ahli Parlimen yang lebih dekat dengan rakyat di kawasan mereka.
Tegasnya, PAS yakin dengan kebijaksanaan dan kerjasama semua pihak, isu ini dapat ditangani serta diselesaikan dengan sebaiknya.
“PAS menyeru semua pemimpin politik untuk bersama menyumbangkan idea dan tenaga dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan krisis kenaikan harga barang serta peningkatan kos sara hidup ini,” tambahnya.-airtimes.my