TAWAU, 28 Jun – Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) dan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau meningkatkan kerjasama dalam memperkukuhkan perkongsian maklumat, keselamatan serta jenayah rentas sempadan di Pantai Timur Sabah.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam hantaran di media sosial berkata, perbincangan ini telah diadakan ketika kunjugan hormat Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad ke atas Kepala Perwakilan Republik Indonesia, Ibu Heni Hamidah di Pejabat KRI di Tawau, hari ini.
“Dalam pertemuan itu, beberapa perkara berkaitan peluang peningkatan kerjasama diantara ATB 2 dan KRI Tawau telah dibincangkan,
“Perbincangan menjurus kepada perkongsian maklumat seperti penyeludupan dan imigrasi kedua-dua negara, peranan serta penugasan ATB 2, jenayah rentas sempadan dan ancaman keselamatan di Pantai Timur Sabah,” katanya.
Menurut MK AB, menerusi perbincangan ini, ATB 2 dan KRI Tawau mampu meningkatkan kerjasama dalam memperkukuhkan keselamatan perairan serantau.
Turut serta dalam kunjungan hormat ini adalah Pengarah Malaysia Maritime Command Centre (MCC), Komander Noor Azley Othman TLDM. – airtimes.my