KUALA LUMPUR, 27 Jun – Pusat hiburan yang menyajikan gadis pelayan pelanggan (GRO) di Jalan Kuchai Lama telah diserbu oleh pihak polis, pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner (SAC) Habibi Majinji berkata, seramai 9 GRO warga Thailand telah ditahan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dalam serbuan yang dilakukan pada jam 10.30 malam.
Tambahnya lagi, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai sebagai penjaga premis berkenaan turut ditahan dalam operasi tersebut.
“Siasatan mendapati, GRO yang ditahan telah menerima bayaran berjumlah RM100 sejam bagi melayan pelanggan dan kesemuanya dipercayai telah bekerja di premis terbabit sejak 2 bulan lalu,
“Premis ini beroperasi sejak 2 bulan lalu dan dipercayai tidak menawarkan perkhidmatan seksual,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seramai 35 pengunjung telah dilepaskan kerana tidak memiliki rekod kesalahan dan jenayah.
“Pihak polis turut merampas resit perniagaan dan peralatan audio serta menahan 10 individu berusia 20 hingga 39 tahun,
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields,” ujarnya
Tegasnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 55 (b) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992. – airtimes.my