SEBERANG PERAI TENGAH, 27 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang berjaya mematahkan sindiket penipuan belian dalam talian di sebuah premis di Batu Feringghi, pada Sabtu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Polis Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Pulau Pinang turut menahan seramai 23 suspek warga Taiwan.
Menurutnya, seramai 17 lelaki dan 6 perempuan yang ditahan itu berumur 19 hingga 48 tahun telah ditahan dalam serbuan yang dijalankan.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis, pihak polis berjaya merampas 46 buah telefon bimbit jenis Iphone, 14 unit laptop pelbagai jenama, Apple Ipad (8), walkie talkie (6),
“12 keping kad prabayar Hotlink, 2 unit card reader, 2 pendrive, portable wifi (1) dan 1 unit wifi router turut dirampas,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Tambahnya lagi, sindiket tersebut telah bergiat aktif sejak petengahan tahun ini serta menyasarkan mangsa dari warga Taiwan.
Dalam pada itu, kesemua suspek telah dijanjikan bayaran gaji sebanyak RM7,000 sebulan sebelum tiba di Malaysia.
“Kesemua suspek disiasat dibawah Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu dan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun serta disebat atau denda jika disabit kesalahan,
“PDRM menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada apabila membuat pembelian secara atas talian dan tidak membuat sebarang transaksi pindahan atau kemasukan wang ke dalam akaun individu yang tidak dikenali,” ujarnya.
Tegasnya lagi, sebelum membuat apa-apa bayaran yang diminta oleh individu yang tidak dikenali, hendaklah membuat semakan terlebih dahulu ke atas akaun-akaun persendirian melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my. – airtimes.my