KUALA LUMPUR, 27 Jun – Rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 3,607 kes penipuan Macau Scam disiasat dari Januari sehingga Mei 2022.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM dalam hantaran di media sosialnya berkata, jumlah kes tersebut melibatkan kerugian sebanyak RM155 juta.
“3,607 ini adalah jumlah mangsa yang telah menjadi mangsa sindiket ini dengan 21 mangsa diperdaya dalam tempoh sebulan,
“Manakala 180 mangsa diperdaya dalam tempoh seminggu dan 26 mangsa diperdaya sehari,” kata hantaran itu.
Menurutnya, sindiket Macau Scam menggunakan kaedah spoofing (meniru nombor telefon orang atau agensi) dan panggilan secara voice over internet protocol (VoIP) iaitu internet untuk menghubungi mangsa.
“Kaedah ini adalah untuk menyukarkan pihak berkuasa mengesan lokasi panggilan dibuat terutamanya apabila menggunakan alamat protokol internet (IP) luar negara atau rangkaian peribadi maya (VPN),
“Selain itu, kaedah layering bagi pindahan wang dari satu akaun ke beberapa akaun yang lain, dari satu bank ke bank yang lain, dari akaun bank ke e-wallet dalam tempoh masa yang singkat adalah taktik sindiket untuk melambatkan pihak berkuasa mengesan wang,” ujarnya.
Mengulas lanjut, JSJK berkata, sindiket ini juga dengan cepat akan mengeluarkan wang dari lokasi-lokasi berlainan menggunakan kad ATM yang dijual atau diperoleh dari keldai akaun. – airtimes.my