KUALA LUMPUR, 25 Jun – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) tidak bersetuju dengan pandangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah menegaskan perhimpunan jalanan bukan cara bertanggungjawab dalam mencari jalan penyelesaian yang ‘membina’.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH menjelaskan, perhimpunan aman adalah hak asasi rakyat yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, bersama-sama hak bersuara dan hak berpersatuan.
Selain itu, hak untuk mengadakan protes aman terkandung dalam dokumen perundangan tertinggi negara kerana ianya telah memainkan peranan yang penting dalam sejarah negara di mana ia membentuk halatuju dan memberi tekanan terhadap pihak berkuasa yang zalim serta korup.
BERSIH berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan Sultan Johor yang bertitah, perhimpunan aman bersih dan demontrasi yang menjadi ‘titik hitam’ negara pada 13 Mei itu dalam pandangan Baginda hanya menghasilkan kekacauan serta kemusnahan di mana tiada pemenang serta kita masih lagi sedang pulih daripada kesan negatifnya.
“BERSIH memohon sembah untuk tidak bersetuju dengan pandangan Tuanku dan ingin sembah maklum beberapa sebab menunjukkan bahawa protes adalah kaedah ekspresi politik yang sah dan juga membentuk sejarah negara kita,” jelas BERSIH dalam kenyataan pada Sabtu.
Malaysia sendiri lahir daripada gerakan protes
“Dato Onn Jaafar telah mengetuai masa untuk menentang Malayan Union, yang dipaksakan oleh British setelah Perang Dunia Kedua, dan ini membuka jalan kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, pelopor kepada kemerdekaan kita daripada British pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963,
“Dato Onn dan UMNO bukan sahaja pihak yang menggunakan protes sebagai cara yang sah untuk bertindak secara kolektif. Parti berbilang bangsa seperti gabungan Putera–AMCJA melalui pemimpin seperti Ishak Haji Muhammad, Tan Cheng Lock, K Ganapathy dan Dr Burhanuddin Helmy melancarkan protes hartal seluruh negara pada 1947 untuk mendesak Perlembagaan Rakyat,
“Masa berlalu daripada Demonstrasi Baling kepada Reformasi, rakyat telah memprotes bagi menyatakan solidariti dan keresahan mereka,” katanya.
Protes membawa kepada pembaharuan
BERSIH menjelaskan, mereka telah membawa semangat ini sejak ditubuhkan pada tahun 2006 untuk membongkar kelemahan dan penyelewengan pilihan raya yang menjadikan pilihan raya tidak bebas dan tidak adil untuk sesebuah demokrasi.
Tegasnya, melalui protes rakyat yang membangkitkan isu pilihan raya bersih dan adil, beberapa pembaharuan telah diperkenalkan.
“Pengenalan dakwat kekal dan penambahbaikan penjalanan pilihan raya dan peluasan akses pengundian kepada pengundi tidak akan terhasil sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ditekan,
“Protes itu juga dianjurkan untuk membantah skandal 1MDB yang telah disifatkan sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia, di mana sebanyak RM42 bilion telah diselewengkan,
“Respon BERSIH terhadap pembongkaran pencurian terbesar ini dengan memanggil 2 perhimpunan aman di mana ratusan ribu rakyat Malaysia telah turun,
“Kami menuntut perubahan institusi kepada undang-undang yang sedia ada untuk menamatkan bencana rasuah dalam neagra dan supaya penjenayah yang terlibat dipertanggungjawabkan,” ujarnya.
Tambahnya, sekiranya rakyat tidak diberikan peluang menyatakan kemarahan mereka terhadap ketidakadilan pilihan raya dan korupsi berskala besar ini secara aman, siapa tahu nasib yang akan menimpa negara sekarang?.
“Tanpa protes, para kleptokrat dan rakan subahatnya akan terus memunggah hasil negara dan dibiarkan bebas tidak didakwa atas jenayah yang mereka telah lakukan,
“Tuanku sudah tentu tidak akan perkenan tragedi sedemikan, sekiranya rakyat tidak keluar membantah,”katanya lagi.
BERSIH komited kekalkan keamanan
Mengulas lanjut, BERSIH menjelaskan, pihaknya sejak awal beriltizam untuk menganjurkan perhimpunan aman dan sekiranya ada kelakuan yang tidak sepatutnya, huru hara atau kerosakan harta benda adalah disebabkan oleh kelakuan agresif daripada polis.
“Pihak polis sepatutnya membantu peserta himpunan aman tetapi sebaliknya menembak dengan gas pemedih mata, meriam air dan tindakan ganas,
“Bukti yang tidak boleh disanggah lagi adalah kami telah menganjurkan himpunan aman besar-besaran pada BERSIH 4 dan 5 yang walaupun polis membuat sekatan di sana sini tetapi mereka tidak mengganggu peserta himpunan,
“Tuanku, sejarah menjadi saksi bahawa bantahan rakyat sememangnya menjadi darah daging kita. BERSIH memohon Tuanku mencemar duli untuk menyertai kami untuk bukan sahaja menghormati tetapi juga meraikan hak asasi rakyat untuk bersuara, berekspresi, berpersatuan dan berhimpun secara aman,” tambah mereka.
Tegas mereka, sebagai negara yang mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan dengan demokrasi sebagai asas, Malaysia perlu meraikan dan mengalu-alukan sebarang ekspresi dan penyertaan rakyat untuk kebaikan bersama negara Malaysia. Tanpa protes, tidak mungkin adanya Malaysia. -airtimes.my