PASIR MAS, 25 Jun – Tindakan 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar bersembunyi di dalam semak di Kampung Sapi, Jeram Perdah bagi mengelak dari pasukan keselamatan gagal, apabila diberkas oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua PATI melibatkan 47 lelaki dan 4 wanita itu ditahan dalam serbuan Ops Wawasan pada jam 1 tengah hari.
“Sepasukan pegawai bersama anggota Risik Bn 8 PGA membuat serbuan di kawasan semak dan menahan 51 PATI warga Myanmar yang berada dalam keadaan mencurigakan,
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga Myanmar itu tidak mempunyai sebarang pengenalan diri yang sah memasuki Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Muhamad Zaki, kesemua PATI itu dipercayai dibawa masuk oleh tekong darat melalui laluan dan pengkalan haram dari negara jiran.
“Mereka dipercayai sedang menunggu tekong darat untuk dibawa keluar dari kawasan,” katanya lagi,
Tambahnya, kesemua warga Myanmar itu dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut,” jelasnya. -airtimes.my