KUALA LUMPUR, 24 Jun – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digalak menceburkan diri dalam bidang ekonomi gig untuk menjana pendapatan sampingan serta meningkatkan sosioekonomi keluarga.
Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) berkata, veteran ATM boleh melibatkan diri dalam pelbagai bidang keusahawanan melalui produk-produk yang mereka usahakan atau pasarkan.
Sehubungan itu, JHEV ATM telah melancarkan Simposium Kerjaya dan Aspirasi Veteran ATM bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya kedua buat para veteran ATM dalam meningkatkan sosioekonomi keluarga.
Menurutnya, simposium ini adalah satu agenda pembangunan kepada veteran ATM sejajar dengan penumpuan untuk memperkasakan pengetahuan dan kemahiran melalui perkongsian ilmu dari kalangan veteran ATM kepada kepada veteran ATM (from veteran to veteran).
“Usaha ini untuk menonjolkan usahawan veteran ATM bagi menggambarkan kesungguhan dan iltizam warga Veteran ATM yang ingin berubah memperbaiki ekonomi masing-masing melalui aktiviti keusahawanan,” jelasnya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Cheras pada Khamis.
Simposium ini adalah anjuran bersama Persatuan Penyayang Warga Emas Malaysia (PENYAYANG); Wisma Veteran; Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA); Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA) dan UVA Holistics Sdn. Bhd.
“Ia turut disertai oleh beberapa rakan strategik seperti PERKESO; Code 7 Tech Sdn Bhd; Carpedia; Kuala Lumpur Convention Centre dan Shapadu Security,”tambah JHEV ATM.
Jelas JHEV ATM, simposium ini bersedia membantu veteran ATM dengan penawaran peluang pekerjaan dan perniagaan masing-masing.
“Program ini menggalakkan penglibatan veteran ATM dalam gig ekonomi kerana peluang pekerjaan dalam bidang ini menjadi semakin popular dan mempunyai permintaan tinggi di pasaran,
“Selain penjualan produk dan perkhidmatan, terdapat juga bual bicara berkaitan peluang menambahbaik produk dan pemasaran melalui perkongsian tips serta panduan perniagaan daripada usahawan yang telah berjaya dan pakar-pakar motivasi,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, JHEV ATM turut menyeru semua syarikat korporat, NGO-NGO berkaitan untuk turut bersama-sama dengan Kementerian Pertahanan menjalin kolaborasi strategik dengan JHEV ATM dalam agenda membantu veteran ATM yang telah banyak menabur jasa bakti kepada negara.-airtimes.my