BALING, 24 JUN 22 – Seramai 4 pegawai dan 165 anggota dari Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja (3 KAD) telah melaksanakan Eksesais Pasak Bumi di kawasan Lata Bukit Hijau pada 13 hingga 22 Jun lalu.
3 KAD dalam hantaran di media sosialnya berkata, eksesais ini bagi menguji ketahanan anggota berjalan lasak merentasi pelbagai bentuk muka bumi sejauh 40 kilometer (km).
“Eksesais ini juga menerapkan semangat berpasukan dan kredibiliti kepimpinan di samping menguji tahap kefahaman pegawai dan anggota dalam menggunakan kompas, peta serta prosedur percakapan semboyan menerusi radio taktikal sepanjang pergerakan,” katanya.
Majlis penutup Eksesais Pasak Bumi ini telah disempurnakan oleh Ketua Staf Markas 2 Divisyen, Kolonel Samad Igom.
Beliau dalam ucapannya berkata, objektif pelaksanaan eksesais ini tercapai dengan peningkatan daya kawalan di peringkat seksyen, platun dan kompeni dalam keadaan yang mencabar.
“Selain itu, kemahiran panduarah, disiplin medan, Ilmu Medan Perang (IMP) serta taktik di peringkat seksyen, platun dan kompeni dalam senario Peperangan Melawan Insurgensi (PMI) yang dilalui semasa latihan mampu menjadikan anggota lebih bersedia menghadapi sebarang eksesais akan datang,” ujarnya.
Turut hadir, Pegawai Memerintah 3 KAD, Leftenan Kolonel Dr Wan Zairibahri Wan Abdul Razak. – airtimes.my