Home PolitikPakatan Harapan Beri kerajaan 24 jam umum pelan tangani kos sara hidup – PH

Beri kerajaan 24 jam umum pelan tangani kos sara hidup – PH

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Pakatan Harapan (PH) beri tempoh 24 jam kepada kerajaan untuk mengumumkan sepenuhnya pelan bagi menangani isu subsidi dan kos sara hidup.

Majlis Presiden PH menegaskan, pihaknya sangat risau dengan perkembangan pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bahawa subsidi bagi minyak masak tulen berbotol, serta harga siling bagi telur dan ayam akan dihapuskan mulai 1 Julai.

“Dalam keadaan ekonomi rakyat amat terkesan akibat pandemik COVID-19, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang bakal meningkat,

“Pada ketika ini, kerajaan belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar biarpun hanya tinggal lebih kurang seminggu sehingga terhapusnya subsidi dan harga siling ini,” katanya dalam kenyataan bersama pada Rabu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Mengulas lanjut mereka menjelaskan, jika subsidi dihapus, tidak ada banyak masa untuk rakyat bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat berkali ganda.

“Ini bukan langkah yang proaktif mahupun bertanggungjawab. Ketua pembangkang pernah menegur berkali-kali di Parlimen tentang kelewatan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat serta mengambil tindakan tahun lalu,

“Malangnya, rakyat terus menyaksikan betapa lembapnya tindakan para menteri dalam menangani masalah kos sara hidup,” katanya.

Tegas mereka, sekiranya isu ini gagal ditangani, menteri yang bertanggungjawab dalam isu kos sara hidup juga wajib meletakkan jawatan.

“PH juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan subsidi minyak masak tulen dalam botol berkapasiti 2, 3 dan 5 kilogram (kg) akan dimansuhkan bermula 1 Julai ini.

Kawalan harga siling ayam dan telur ayam juga tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menjelaskan, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan program subsidi sementara minyak masak berbotol, sebaliknya akan mengekalkan subsidi minyak masak kampit sebanyak 60,000 tan metrik sebulan untuk kegunaan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata, keputusan tidak meneruskan subsidi minyak masak botol bermula 1 Julai dibuat berikutan beberapa faktor.

“Kerajaan mengesan minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan,

“Sehubungan dengan itu, mulai 1 Julai 2022 , kerajaan memutuskan untuk tidak lagi menyambung subsidi bagi minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!