Home Pertahanan dan Keselamatan Askar dilatih untuk berperang, bukan jadi petani – Mior Rosli

Askar dilatih untuk berperang, bukan jadi petani – Mior Rosli

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Anggota tentera seharusnya lebih fokus dengan tanggungjawab sebagai pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara dan bukan dibebankan dengan hal-hal yang boleh menjejaskan tugas harian mereka.

Ahli Jawatankuasa Suara Veteran, Mejar (Bersara) Mior Rosli Mior Rosdi berkata, ketika negara dalam keadaan aman, anggota tentera seharusnya memberikan lebih ruang untuk fokus mempertingkatkan latihan.

Beliau berkata, cadangan untuk anggota tentera bercucuk tanam, boleh dianggap sebagai tidak bijak.

“Dari zaman purba lagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerjanya berlatih untuk perang, dan pergi perang,

“Rancangan Kementerian Pertahanan ini tidak bijak. Nanti tentera tidak ada kerja lain melainkan jadi petani,

“Mereka (Kementerian Pertahanan) seolah-olah tidak tahu fokus yang sebenar,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencadangkan agar setiap kem diwujudkan kawasan tanaman bagi menjamin sekuriti makanan terutamanya untuk keperluan anggota di kem terbabit.

Hishammuddin berkata, projek rintis tanaman berkenaan sudah pun bermula di Kem Syed Sirajuddin di Gemas Negeri Sembilan dan dianggap berjaya oleh Hishammuddin.

“Aktiviti bercucuk tanam itu dah ada pun. Saya dah tengok tadi, jadi dalam apa jua keadaan termasuk harga makanan melambung, kita ada kemampuan sendiri. Sekurang-kurangnya anggota boleh fokus kepada tanggungjawab mereka iaitu keselamatan dan pertahanan,

“Saya nak dapat laporan nanti dan sekiranya boleh diperluaskan untuk kesemua kem atau mungkin setiap zon,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 ATM di Lapang Sasar Asahan, semalam.

Mior turut mencadangkan agar kawasan tanah Kementerian Pertahanan yang sesuai untuk dimajukan dengan aktiviti pertanian boleh diserahkan kepada pihak veteran untuk diusahakan.

“Sepatutnya tentera beri tanah itu kepada veteran untuk di usahakan dengan Kementerian Pertanian dan dimajukan industri makanan yang lebih holistik di bidang tanaman dan ternakan moden,

“Veteran boleh bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan majukan tanah terbiar ATM itu,

“Tapi jangalah membuat anggota tentera bawa cangkul menjadi petani pula,” tegasnya.

Tegasnya, seseorang anggota tentera tidak patut diganggu dengan perkara di luar bidang mereka.

Dalam kenyataan sama, Mior turut mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Pertahanan untuk membantu mereka menyediakan pasukan keselamatan negara yang lebih terlatih.

“Kalau kementerian ketandusan idea dan rasa anggota tentera dah tak ada kerja sangat, saya boleh bagi cadangan apa yang kita boleh buat,

“Antara cadangan itu adalah menempatkan doktor, anggota perubatan dan para medik tempur ke wad kecemasan hospital besar supaya mereka terdedah dengan keadaan kecemasan sebenar,

“Kementerian Pertahanan boleh mengurangkan penganugerahan tender kepada kontraktor awam untuk melaksanakan sesuatu projek, sebaliknya menggunakan jurutera tentera untuk menyelia projek di kawasan luar bandar seperti pembinaan jambatan, penurapan jalan dan yang seumpamanya,

“Kemudahan perubatan seperti ambulans udara dan pasukan penyelamat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), boleh diaturgerak sekiranya ada kemalangan di lebuh raya,” jelasnya.

Selain itu, Mior turut mencadangkan agar latihan ketenteraan dibuat secara besar-besaran di kawasan sempadan negara dan ia sekali gus boleh mengekang pencerobohan pihak luar.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!