Home Pertahanan dan Keselamatan PGA patahkan sindiket penyeludupan diesel di Machang

PGA patahkan sindiket penyeludupan diesel di Machang

by Air Times News Network

TANAH MERAH, 20 Jun – Sindiket penyeludupan minyak diesel yang aktif disekitar negeri Kelantan berjaya ditumpaskan  oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 dengan hasil kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dalam 2 serbuan berasingan, pada awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, serbuan pertama yang dijalankan di sebuah stor di Kampung Tebing Tinggi pada jam 2 pagi itu, telah membawa kepada penahanan 3 lelaki berusia 29 hingga 50 tahun.

“Semasa serbuan dilakukan anggota bertugas mendapati mereka sedang menyedut minyak diesel dari lori ke dalam 6 buah tangki simpanan statik dengan menggunakan mesin,

“Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, salah seorang suspek berjaya meloloskan diri,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan ke atas tangki lori yang berada di lokasi, pihaknya menemui sebanyak 28,800 liter minyak diesel yang disyaki untuk dijual kepada pemborong.

“Pemeriksaan lanjut diteruskan ke atas 6 buah lagi tangki yang berada di lokasi yang membawa kepada penemuan 90,800 liter minyak diesel,

“Nilai keseluruhan rampasan bahan api termasuk lori dan pam dianggarkan berjumlah RM735,220,” ujarnya.

Dalam pada itu, serbuan kedua yang dilakukan di Machang, pasukan PGA telah menahan seramai 5 lelaki yang berusia 29 hingga 40 tahun.

Muhammad Zaki berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 4 buah lori yang mengandungi 6,980 liter minyak diesel seludup.

“Ketika serbuan kesemua lelaki tersebut bersama 3 lori sedang memindahkan bahan api itu ke dalam lori tangki,

“Jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 4 buah lori dan satu mesin pam minyak bernilai RM910,007, jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!