Home SemasaGlobal Australia hantar kenderaan berperisai kepada Ukraine

Australia hantar kenderaan berperisai kepada Ukraine

by M.Daim

CANBERRA, 20 Jun – Australia telah menghantar sebanyak 4 buah kenderaan pengangkut berperisai (APC) sebagai bantuan peralatan ketenteraan kepada Ukraine.

Kementerian Pertahanan Australia dalam satu kenyataan berkata, 4 buah APC tersebut merupakan kumpulan pertama 14 M113AS4 yang dijanjikan oleh Canberra kepada Kyiv.

“Australia, seperti mana-mana negara lain, mengutuk tindakan Rusia yang meneruskan peperangan di Ukraine,

“Kami berdiri teguh dengan Ukraine semenjak peperangan ini berlaku,” kata Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dalam kenyataan itu.

Beliau menambah, Australia berbangga dengan usaha mereka untuk membantu Ukraine.

“Usaha sebegini dinyatakan dalam penghantaran 4 buah APC pada minggu lalu,” ujar beliau.

Australia bekal 14 buah kenderaan berperisai kepada Ukraine. Foto: Kementerian Pertahanan Australia

Kerajaan Australia telah mengumumkan pakej bantuan kepada Ukraine dari segi pembekalan aset dan peralatan anggota tentera. Pakej bantuan ini adalah bernilai AUD 285 juta (RM 874.5 juta).

Penghantaran 4 M113AS4 dilakukan dengan menggunakan pesawat Antonov AN-124 yang dikendalikan oleh Ukraine.

Antara bantuan yang lain ditawarkan oleh Australia adalah meriam howitzer M777, persenjataan anti armor, peluru dan pesawat tanpa pemandu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Australia, Richard Marles menegaskan negaranya akan cuba membantu Ukraine selagi mampu.

“Kita cuba salurkan apa yang terbaik kepada mereka. Pada masa yang sama, Australia menggesa Rusia untuk menghentikan operasi ketenteraan mereka di Ukraine,” katanya.

M113AS4 merupakan varian kenderaan berperisai yang digunakan oleh Angkatan Tentera Australia. Varian ini merupakan versi moden siri APC M113 yang digunakan oleh negara itu semenjak tahun 1960-an. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!