KUALA LUMPUR, 17 Jun – Pihak polis mengesahkan telah menahan 4 lelaki warga asing kerana disyaki terbabit dalam menyatakan sokongan kepada ahli politik parti Bharatiya Janata (BJP), Nupur Sharma, yang menghina Nabi Muhammad, di India seperti yang tular dalam aplikasi TikTok baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kesemua suspek yang terlibat merupakan warganegara Nepal berumur di antara 26 hingga 27 tahun.
“Mereka ditangkap oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada hari ini (Khamis), di kawasan Meru, Klang,
“Turut dirampas daripada suspek ialah peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Abd Jalil menjelaskan, kejadian yang dirakamkan di hadapan kuil di Batu Caves itu berlaku selepas ahli politik Parti Bharatiya Janata (BJP) India, Nupur Sharma, membuat kenyataan menghina Islam dan Nabi Muhammad.
Mereka juga dipercayai menjadi penyokong gerakan Hindu Samachar.
Menurutnya, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut.
“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam,
“Suspek juga katanya disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” tambahnya.
Sementara itu, beliau juga menasihatkan individu yang terlibat dalam rakaman video tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya juga diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” tegasnya. -airtimes.my