Home Semasa Polis Johor buru 8 penceroboh asing masuki Malaysia

Polis Johor buru 8 penceroboh asing masuki Malaysia

by Nurulhuda

JOHOR, 17 Jun – Polis Johor sedang mengesan 8 individu yang terbabit di dalam sebuah klip video tular yang memaparkan kejadian masuk secara haram ke negara ini menerusi kawasan berhampiran Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata seorang anggota polis di BSI telah membuat laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.12 pagi, hari ini.

“Pengadu merupakan anggota polis yang bertugas di Balai Polis Bangunan Sultan Iskandar berkaitan kejadian beberapa orang telah masuk ke Malaysia secara haram melalui kawasan larangan berhampiran bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru,

“Hasil siasatan, pihak polis melalui kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku pada 16 Jun 2022 jam lebih kurang 17.40 petang,

“Suspek yang yang terlibat adalah 5 lelaki dan 3 perempuan, bangsa tidak pasti telah masuk secara haram ke Malaysia melalui tempat kejadian,

“Individu-individu yang terbabit dapat tampil ke IPD Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Raub menjelaskan, kes tersebut telah disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1969/63 dan jika didapati bersalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun.

“Selain itu, mereka juga boleh dikenakan denda tidak melebihi daripada 6 kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000.00,” jelasnya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh menghubungi terus talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan atau Pegawai Penyiasat di talian 07-2182323.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya telah mengambil tindakan awal dengan mendirikan kanopi dan menempatkan anggota 24 jam di kawasan terbabit selain memasang kawad berduri di tepi pagar tebing Selat Tebrau.

Kejadian tersebut turut mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang memaklumkan pihaknya sudah melakukan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai isu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) yang tidak berkesudahan.- airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!