KUALA LUMPUR, 17 Julai – Tentera Malaysia dan Amerika Syarikat selesai melaksanakan 2 latihan bersama secara serentak, hari ini.
Upacara penutup Eksesais Bersama Warrior 2022 telah diadakan di Kuantan dan Eksesais Keris Strike di Sungai Buloh.
Kedutaan Amerika Syarikat dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua latihan ketenteraan bersama memainkan peranan untuk mempertingkatkan tahap kesiagaan, daya saling operasi serta kerjasama antara kedua-dua pihak.
Eksesais Keris Strike
“Saya berasa bangga dengan pencapaian kita sepanjang Eks Keris Strike dilaksanakan bersama Tentera Darat Malaysia,
“Melalui eksesais ini, kami telah melaksanakan latihan hutan yang sukar secara bersama dan memperkukuhkan hubungan baik antara kedua-dua pihak,” kata Leftenan Kolonel Joshua Suthoff, Komander Keris Strike Task Force.
Eks Keris Strike memberi fokus kepada pembangunan kapasiti dan keupayaan serta daya salilng operasi untuk komitmen keselamatan serantau. Latihan ini melibatkan 200 anggota tentera AS dalam operasi hutan dan taktik pada peringkat skuad.
Eksesais ini dianjurkan oleh US Army Pacific dan dihoskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Eksesais Bersama Warrior
Dalam Eks Bersama Warrior pula, kira-kira 100 anggota tentera AS terlibat. Latihan ini menguji keupayaan peserta dalam melakukan perancangan dan koordinasi beberapa misi dengan menggunakan prosedur operasi standard Multi-National Forces.
Latihan ini juga diadakan pada peringkat command post exercise (eksesais peringkat pos pemerintahan) dan melibatkan staf perancangan operasi.
“United States Indo-Pacific Command dan Washington National Guard berterima kasih kepada rakan dari tentera Malaysia atas kualiti Latihan serta hospitaliti yang telah diberikan,
“Dalam usaha kami untuk mempertingkatkan daya saling operasi, berkongsi wawasan serantau dan kerjasama, kami berharap ia akan memberikan hasil kepada penglibatan masa hadapan serta persahabatan yang kekal,” kata Kolonel Scott Humphrey, Ketua Staf Bersama Warrior 2022 dan komander Pertahanan Udara Sektor Barat Washington Air National Guard.
Kongsi matlamat keselamatan serantau
Sementara itu, pihak Kedutaan AS dalam kenyataan berkata, kedua-dua latihan ini memperagakan keazaman Washington dalam mendukung kepentingan keselamatan bersama dengan sekutu dan rakan kongsi di rantau Indo-Pasifik.
“Hubungan ketenteraan AS dan Malaysia adalah kukuh, penting dan berdasarkan semangat saling menghormati serta kerjasama,
“Latihan bersama ini sekaligus membolehkan anggota tentera untuk memupuk saling hormat-menghormati, kepercayaan dan persahabatan,” kata kenyataan itu. – airtimes.my