KUALA KEDAH, 17 Jun – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menahan 3 lelaki ketika cuba menyeludup keluar lebih kurang 1.3 tan daun ketum di kedudukan 1.0 batu nautika barat muara Kuala Kedah pada jam 2.30 pagi Khamis.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tangkapan dibuat berikutan maklumat risikan berkaitan sebuah bot nelayan tempatan kelas A dengan nombor pendaftaran KHF 2081 disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan sedang bergerak menuju keluar muara Kuala Kedah.
“Bot ronda APMM diaturgerak ke lokasi untuk melakukan serbuan dan bot terbabit berjaya dikesan pada jam 2.20 pagi sedang bergerak dalam keadaan bergelap,
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut bot namun berjaya dipintas oleh bot ronda APMM,
“Pemeriksaan mendapati, 3 lelaki warga tempatan berusia lingkungan 33 hingga 39 tahun berada di atas bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Azreyanti berkata, kesemua suspek ditahan bersama 130 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum di atas bot berkenaan dengan berat dianggarkan lebih kurang 1.3 tan.
“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek itu berasal dari kawasan berdekatan dan telah menerima upah sebanyak RM200 seorang bagi satu perjalanan penghantaran,
“Daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan daun ketum telah dikeluarkan dari senarai dadah berbahaya di negara jiran,” ujarnya.
Katanya, daun ketum mendapat permintaan serta harga jualan yang lebih tinggi berbanding di dalam negara yang hanya dijual RM30 sekilo.
“3 suspek ditahan dan kesemua bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum yang dianggarkan bernilai RM234 ribu serta sebuah bot nelayan tempatan kelas A beserta enjin dianggarkan bernilai RM70 ribu dirampas dan seterusnya dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.
“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih 4t tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.
Tambahnya, kes ini merupakan tangkapan kedua melibatkan warga tempatan dan rampasan keenam bagi Zon Maritim Kuala Kedah setakat ini.
“Walaupun telah banyak rampasan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit,” katanya lagi. – airtimes.my