Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut 11 termasuk seorang wanita PATI Indonesia diberkas ceroboh masuk perairan negara

11 termasuk seorang wanita PATI Indonesia diberkas ceroboh masuk perairan negara

by Nurulhuda

JOHOR, 15 Jun – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di perairan Johor Selatan, tengah malam tadi.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berumur dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun.

Menurutnya, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) terlebih dahulu telah mengesan keberadaan sebuah bot curiga berkelajuan tinggi bergerak dari perairan Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Tanjung Penyusup.

“KD GEMPITA seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1124 dan bot pemintas RHIB LEPAU bagi melaksanakan penjejakan dan pemintasan ke atas bot curiga tersebut,

“Menyedari kehadiran bot TLDM di lokasi, bot PATI telah bertindak melaksanakan cubaan meloloskan diri. Namun hasil kecekapan dan tindak balas pantas FCB 1124 dan RHIB LEPAU telah berjaya mengagalkan cubaan tersebut dan memberkas PATI tersebut di lokasi 3.1 batu nautika barat daya Tanjung Penyusop,” jelas kenyataan itu.

PATI yang diberkas telah dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Pengelih dan diserahkan kepada Tim Op Merpati untuk soal siasat dan ujian saringan COVID-19.

Kesemua PATI telah dibawa ke Kem Tanjung Sepang untuk siasatan lanjut.

Kesemua PATI yang diberkas seterusnya akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan tindakan lanjut.

TLDM turut menjelaskan, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat dalam memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan baik di laut mahupun di darat.

“ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,

“TLDM bersama agensi penguatkuasa 2 maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” tambah TLDM. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply