KUALA LUMPUR, 14 Jun – Keputusan jawatan dan pengganti Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang sebelum ini disandang oleh Datuk Zuraida Kamaruddin akan diumumkan selepas pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya masih menunggu tarikh daripada pejabat Perdana Menteri, bagi membincangkan kedudukan Zuraida dalam kabinet.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pertemuan itu akan dibuat selepas Ismail Sabri bertemu dengan Zuraida.
“Kita berpendirian Zuraida duduk situ sebagai menteri atas kuota BERSATU, sejak dari dahulu lagi,
“Tapi keputusan untuk melantik siapa, adalah hak PM,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada Selasa.
Mengulas lanjut, Muhyiddin perkara itu akan dibincangkan bersama dengan Ismail dalam pertemuan tersebut termasuk nama-nama calon yang disenaraikan.
Ketika ditanya, adakah nama-nama calon pengganti Zuraida akan memperkenalkan wajah-wajah baru daripada Bersatu, beliau enggan mengulas lanjut.
“Tunggulah, kita (BERSATU) akan umum nanti. Bila sampai masanya akan tahu,” jelasnya.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar BERSATU untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Sebelum ini, Ismail Sabri dilapor berkata, kedudukan Zuraida masih belum dibincangkan.
Bagaimanapun Ismail Sabri menegaskan, Zuraida masih menteri kabinet dan perlu menjalankan tugas seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.-airtimes.my