Home Semasa Hentikan polemik PRU, rakyat sedang sengsara – Salahuddin

Hentikan polemik PRU, rakyat sedang sengsara – Salahuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat bukanlah kehendak rakyat, tetapi mereka mahukan agar kerajaan mengawal harga barang bagi mengatasi masalah yang melada buat masa kini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, selain kawalan harga barang, rakyat juga menuntut agar jaminan makanan mencukupi dan bekalan terkawal serta mencukupi.

“Polemik ini tidak wajar dipanjangkan dan diteruskan, kerana keresahan rakyat yang utama pada ketika ini adalah soal mencari sesuap nasi, menjelaskan hutang dan bebanan kewangan, serta harga barangan yang mencanak naik dan merisaukan peniaga-peniaga kecil serta para pengguna,” jelasnya menerusi hantaran di media sosialnya pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengadakan PRU dalam waktu terdekat ini bakal menelan perbelanjaan ratusan juta ringgit.

“Adalah lebih baik sekiranya wang negara digunakan untuk manfaat rakyat yang sedang dihimpit kesusahan, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” ujarnya.

Sebelum ini, terdapat segelintir pemimpin politik terutamanya dalam kalangan parti UMNO menggesa kerajaan agar mengadakan PRU dalam masa terdekat.

Namun, perkara tersebut mendapat tentangan dari pemimpin parti pembangkang yang menyatakan agar kerajaan memfokuskan terlebih dahulu kepada masalah rakyat berbanding mengadakan pilihan raya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!