KUALA LUMPUR, 14 Jun – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) telah mengeluarkan arahan sekatan kepada pembekal perkhidmatan Internet (ISP) terhadap sebuah laman web yang dikaitkan dengan penjualan data.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan untuk menurunkan laman web tersebut dibuat bagi menghalang urusan jual beli data di platform berkenaan.
Beliau berkata, tindakan menurunkan laman web terbabit juga sudah dilakukan pada hari sama selepas ia didedahkan di Twitter pada Ahad lalu.
“Kita mengambil serius mengenai keresahan dan kebimbangan orang ramai mengenai isu penjualan data yang mula didedahkan di laman Twitter pada pagi Ahad lalu,
“Semakan dan siasatan segera dilakukan oleh K-KOMM melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) mengenai kandungan dan latar belakang laman web yang berkaitan, pada hari yang sama,
“Justeru tindakan menurunkan laman web itu sudah dilakukan pada jam 6.30 petang Ahad lalu,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Annuar berkata demikian bagi mengulas pendedahan pengguna akaun Twitter mengenai kewujudan sebuah medium Perisikan Sistem Terbuka (OSINT) di internet yang boleh mengakses data peribadi rakyat Malaysia hanya melalui nama, nombor kad pengenalan dan tarikh lahir mereka.
Pada masa sama, Annuar menjelaskan, siasatan lanjut yang lebih mendalam juga sedang dijalankan secara bersepadu oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), JPDP, CSM, SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung isu terbabit.
“K-KOMM melalui JPDP dengan kerjasama SKMM dan CSM akan terus memantau dan mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial agar sentiasa menepati prinsip mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709),
“Manakala keselamatan data peribadi milik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pula akan sentiasa dipastikan keselamatannya oleh agensi kerajaan yang berkaitan serta NACSA,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga dinasihatkan untuk mengaplikasikan 7 Prinsip Perlindungan Data Peribadi mengikut Akta 709 sebagai garis panduan atau amalan terbaik supaya keselamatan data peribadi rakyat sentiasa terjaga.
Tambahnya, di bawah Seksyen 130, Akta 709, kesalahan berhubung penjualan data peribadi, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebbihi 3 tahun atau kedua-duanya sekalu.
“Kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam usaha membendung kes kebocoran, penyalahgunaan atau penjualan data peribadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya. -airtimes.my