Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia, Singapura perhalusi usaha perkukuh kerjasama pertahanan – Hishammuddin

Malaysia, Singapura perhalusi usaha perkukuh kerjasama pertahanan – Hishammuddin

by Nurulhuda

SINGAPURA, 13 Jun – Malaysia dan Singapura sepakat memperhalusi usaha ke arah mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan terutama antara angkatan tentera kedua-dua negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, langkah itu adalah hasil mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Dr Ng Eng Hen dalam lawatan kerja belau selama 3 hari di Singapura bermula Jumaat lalu.

“Selain itu, saya dan Ng turut berbincang mengenai beberapa isu keselamatan serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan diadakan sempena lawatan kerja itu bagi memenuhi jemputan ke Shangri-La Dialogue anjuran The International Institute for Strategic Studies.

Hishammuddin menjelaskan, selain Ng, beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi Singapura termasuk Presiden Halimah Yacob; Perdana Menteri, Lee Hsien Loong; Menteri Kanan dan Menteri Koordinasi Keselamatan Kebangsaan, Teo Chee Hean dan Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang, K Shanmugam.

“Gembira untuk saya laporkan, pertemuan bersama pemimpin terbabit berlangsung dalam suasana yang cukup mesra dan harmoni serta benar-benar menyerlahkan hubungan akrab dan istimewa antara Malaysia dan Singapura yang terjalin selama puluhan tahun,” jelasnya.

Tambahnya, beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin negara-negara sekutu termasuk dari Amerika Syarikat, Australia dan China semasa berada di Singapura.

“Ia sekali gus membuka ruang untuk kami bertukar-tukar pandangan dalam banyak isu keselamatan global serta berkongsi komitmen untuk membawa diplomasi pertahanan antara negara masing-masing ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan bagi pihak Malaysia dalam sesi pleno ketiga bertajuk ‘Membangunkan Kerjasama Keselamatan Baharu. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!