Home Pertahanan dan Keselamatan Kejayaan Janusha tamat latihan di USNA bukti anak Malaysia hebat di pentas dunia – PM

Kejayaan Janusha tamat latihan di USNA bukti anak Malaysia hebat di pentas dunia – PM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan Pegawai Kadet Kanan (PKK) Janusha Bala Krishnan Muthiah dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di United States Naval Academy (USNA) membuktikan anak Malaysia hebat di pentas dunia.

Beliau dalam hantaran di media sosialnya berkata, kejayaan ini menyerlahkan kewibawaan golongan wanita muda Malaysia untuk bersaing dalam dunia ketenteraan.

“Keluarga Malaysia terus cipta sejarah di persada dunia!,

“Tahniah kepada PKK Janusha Bala Krishnan Muthiah yang menjadi pegawai wanita pertama negara berjaya menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di USNA,

“Saya amat bangga dengan kejayaan PKK Janusha yang bukan sahaja membuktikan anak Malaysia hebat di pentas dunia malah menyerlahkan kewibawaan golongan wanita muda Malaysia untuk bersaing dalam dunia ketenteraan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berharap semoga kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada warga TLDM untuk terus berusaha mencapai kejayaan di masa hadapan.

“Syabas dan tahniah PKK Janusha!” ujarnya.

Terdahulu, Majlis Tamat Pengajian yang penuh gemilang telah disempurnakan sendiri oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Tentera Laut Amerika bersama Duta serta Penasihat-penasihat Pertahanan dari pelbagai negara.

PKK Janusha dari Class of 2022 telah mula menjalani pengajian dan latihan ketenteraan di USNA pada tahun 2018.

Turut bersama beliau menjalani latihan selama 4 tahun ini adalah 1,085 pelatih dari Amerika Syarikat dan 14 pelatih dari luar negara. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!