Pada 31 Mei lalu, kapal kovet KD LEKIR telah memulakan pelayarannya ke Hawaii, Amerika Syarikat. Misi pelayaran mereka adalah untuk mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam latihan peperangan maritim terbesar di dunia, Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022.
Walaupun ini bukan kali pertama TLDM menyertai eksesais tersebut, penglibatan KD Lekir pada kali ini mencatatkan satu sejarah buat angkatan laut, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga negara.
Bagi Pegawai Memerintah KD Lekir, Komander Mohd Asri Dasman berkata, eksesais pada kali ini amat penting kerana TLDM diberi peluang untuk melakukan penembakan EXOCET MM40.
Menurutnya, pelayaran pada kali ini membuktikan kemampuan KD Lekir keluar dari zon maritim Malaysia untuk menyertai eksesais bersama negara-negara yang lain Hawaii. Malah, kapal ini perlu merentasi kawasan perairan terbesar di dunia, Lautan Pasifik.
Penglibatan ATM dalam latihan ketenteraan bilateral dan multilateral dengan angkatan tentera asing bukanlah sesuatu yang baharu. Namun ianya satu perkara yang mustahak bagi mendedahkan anggota tentera tanah air untuk menimba pengalaman baharu di bumi asing.
RIMPAC merupakan latihan ketenteraan maritim berskala besar yang diadakan semenjak tahun 1971. Ia diadakan secara dwitahunan dan dianjurkan oleh Markas Pemerintahan Indo-Pasifik Tentera Laut Amerika Syarikat (USINDOPACOM).
RIMPAC 2022 siri eksesais pertama pasca pandemik dan ia disertai oleh 26 buah negara. Latihan ini akan bermula secara rasmi mulai 29 Jun dan berakhir pada 4 Ogos.
Menurut Mohd Asri, jumlah masa pelayaran pergi dan balik secara keseluruhan yang akan dilalui oleh KD Lekir adalah 99 hari.
Jelasnya, warga TLDM yang menyertai RIMPAC 2022 akan menjalani pelbagai fasa latihan sepanjang eksesais ini dijalankan.
“Antara fasa-fasa yang akan diadakan merupakan fasa latihan di pelabuhan serta latihan di laut,
“Diperingkat laut kita akan melaksanakan pelbagai latihan maritim, contohnya seperti latihan pertahanan udara, latihan sempadan, penembakan senjata serta akan melaksanakan tembakan peluru berpandu Exocet MM40 Block II,” katanya ketika ditemui Air Times semasa majlis Pelepasan Tali Eksesais RIMPAC 2022, pada akhir Mei lalu.
Jelasnya, penyertaan kali ini merupakan detik bersejarah buat TLDM, ATM dan juga Malaysia kerana KD Lekir diberikan penghormatan untuk melaksanakan penembakan peluru berpandu anti permukaan di luar zon maritim negara.
Penembakan peluru berpandu anti permukaan atau SINKEX (sinking exercise) memberi peluang kepada peserta yang menyertai RIMPAC untuk mempertingkatkan kemahiran serta keyakinan mereka dalam mengendalikan senjata.
Sebelum berlayar ke Pearl Harbor, KD Lekir telah berjaya melaksanakan penembakan peluru berpandu Exocet MM40 Block II pada 22 Mei lalu dalam Eksesais Taming Sari 21/2022.
Dalam latihan tersebut, penembakan Exocet oleh kapal kovet itu telah berjaya mengenai sasaran.
Sudah tentu, penembakan di luar zon maritim Malaysia merupakan sesuatu pengalaman baharu bagi warga KD Lekir. Tambahan pula, kapal yang hampir mencapai usia 38 tahun ini masih gagah dalam melaksanakan amanah dalam menjaga perbatasan maritim negara.
“KD Lekir telah menjalani program pemanjangan hayat kapal (SLEP) pada tahun 2010 dan mempunyai sistem kawalan tempur yang baharu,
“Kita yakin bahawa kita boleh membawa misi ini dengan jayanya,” ujar Mohd Asri.
Tambahnya, warga KD Lekir telah melaksanakan persiapan semenjak tahun lalu sebelum menghadiri RIMPAC 2022.
“Kita telah melaksanakan latihan bersama kapal-kapal lain dalam armada TLDM. Selain itu, kita turut terlibat dalam latihan bersama kapal-kapal tentera laut asing,
“Saya yakin bahawa anggota dan pegawai KD Lekir mampu untuk menggalas tugas ini dengan jayannya,” ujar beliau.
Kali terakhir TLDM menyertai RIMPAC adalah pada tahun 2018 dengan penglibatan KD LEKIU.
Dalam siri tersebut, inovasi “Floating DC (Damage Control) Bag” TLDM mendapat pengiktirafan kerana menjuarai Pertandingan Inovasi RIMPAC 2018. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #KDLekir #TLDM #RIMPAC2022 #Pertahanan