Home Pertahanan dan Keselamatan Cuba loloskan diri, bot PATI Indonesia terbalik

Cuba loloskan diri, bot PATI Indonesia terbalik

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 9 Jun – Cubaan sebuah bot dinaiki 2 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk melarikan diri dari pihak berkuasa gagal apabila berjaya ditahan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Johor Selatan, malam tadi.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, kedua-dua lelaki yang berusia 33 dan 46 tahun itu telah dikesan melalui Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang bergerak dari Tanjung Balai, Indonesia serta disyaki menuju ke Pulau Che Kamat, Johor.

Menurutnya, KD GEMPITA telah mengkoordinasikan FCB 1124 dan bot pemintas RHIB LEPAU bagi melaksanakan penjejakan serta pemintasan ke atas bot curiga tersebut.

“Bot warga Indonesia itu telah bertindak memecut laju dan berpatah balik untuk keluar dari perairan negara,

“Dalam kekalutan untuk meloloskan diri, bot tersebut telah bertindak agresif dan terbalik di lokasi 3.3 batu nautika selatan Pulau Che Kamat,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, kedua-dua mangsa dipercayai PATI telah diselamatkan oleh krew FCB 1124 dan RHIB LEPAU.

“Kedua-dua PATI yang diselamatkan telah dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih untuk diserahkan kepada Tim Op Merpati bagi tujuan soal siasat dan ujian saringan COVID-19,

“PATI yang diberkas seterusnya akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tujuan tindakan lanjut,” ujarnya.

Dalam masa yang sama TLDM turut menjelaskan, ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply