KUALA LUMPUR, 8 Jun – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang menghina Nabi Muhammad SAW oleh 2 ahli politik India.
Kementerian Luar (Wisma Putra) menjelaskan, kementeriannya telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia petang semalam dan menyampaikan penyangkalan sepenuhnya terhadap kenyataan itu.
“Malaysia mengalu-alukan keputusan parti pemerintah India untuk menggantung ahli parti terbabit berikutan kenyataan provokasi mereka yang telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan malam tadi.
Jelas Wisma Putra, Malaysia turut menyeru India untuk berkerjasama dalam menamatkan Islamofobia dan menghentikan sebarang tindakan provokasi demi keamanan serta kestabilan sejagat.
Malaysia adalah antara negara terkini yang bersama mengutuk tindakan dua pegawai parti Bharatiya Janata (BJP) yang mengeluarkan komen berbaur penghinaan yang mencetuskan kemarahan banyak negara Islam.
BJP telah menggantung dua pemimpin parti itu yang didakwa mengeluarkan komen berbaur hasutan.
Sebelum ini Qatar turut menuntut permohonan maaf daripada India pada Ahad.
Menurut Kementerian Luar Qatar, penghinaan itu menunjukkan kejahilan tentang peranan penting Islam dalam pembangunan tamadun di seluruh dunia, termasuk di India.
Manakala, Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan turut mengecam kenyataan yang dibuat jurucakap Perdana Menteri India, Nupur Sharma yang disifatkan menghina Nabi Muhammad.-airtimes.my