Home Semasa Larang umat Islam sertai Festival Bon Odori: JAKIM mudah keliru – Siti Kassim

Larang umat Islam sertai Festival Bon Odori: JAKIM mudah keliru – Siti Kassim

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Peguam dan aktivis, Siti Kasim mengkritik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung larangan umat Islam supaya tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan berlangsung pada 16 Julai ini di Kompleks Sukan Negara.

Siti Kassim berkata, JAKIM mudah terkeliru dengan penganjuran festival ini.

“Yang keliru tentang Islam hanyalah JAKIM. Biasa setiap hari umat Islam tidak mempunyai masalah untuk bersama-sama dengan bukan Islam dalam perayaan mereka dan meraikannya,

“Malangnya akidah JAKIM tak kuat sangat. Mudah keliru,” kata Siti Kassim dalam hantaran di media sosialnya hari ini.

Festival Bon Odori sudah disambut sejak 500 tahun lalu bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

Amalan Buddha-Confucian ini berkembang menjadi musim cuti di mana keluarga berkumpul di tempat kelahiran nenek moyang, melawat dan membersihkan kubur mereka.

“Saya rasa mereka (JAKIM) mengalami semacam percanggahan rohani. Perayaan ini telah berlangsung selama bertahun-tahun,

“Kenapa tiba-tiba sekarang? Mereka tidak sepatutnya melayan kita seolah-olah kita tidak boleh menggunakan otak kita sendiri,” ujarnya.

Katanya, kerajaan perlu menasihati JAKIM supaya jangan main-main dengan urusan rakyat.

“Kenapa JAKIM tak suruh orang Islam pergi tinggal dalam gua sahaja? Kerajaan kita patut beritahu orang JAKIM ini supaya jangan main-main dengan urusan rakyat. Lebih baik, tutup jabatan ini,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihati umat Islam supaya tidak menyertai Festival Bon Odori kerana didapati mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Beliau berkata, kajian yang dibuat JAKIM mendapati festival itu memang ada unsur-unsur keagamaan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!