[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=WZywtSaRvdk[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan penyelesaian permasalahan veteran yang berkait rapat dengan kedudukan semasa negara adalah melibatkan pelbagai kementerian.
Beliau mengulas cabaran yang dikemukakan oleh sekumpulan veteran kepadanya untuk berdebat dalam isu kebajikan bekas tentera.
“Ianya (pembelaan veteran) tidak hanya berkisar kepada kemampuan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) semata-mata,
“Sekiranya penyelesaian adalah berkait rapat dengan kemampuan kewangan negara, ia akan melibatkan banyak pihak dan pelbagai kementerian,
“Kalau nak berdebat, berdebat dengan kabinet,” katanya semasa Sidang Media Majlis Pra Pelancaran Pameran Maritim Dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023), hari ini.
Hishammuddin menjelaskan perdebatan secara terbuka tidak akan membantu kerana perkara yang diperlukan pada ketika ini adalah penyelesaian terhadap isu tersebut.
“Ini bukanlah satu perkara baru. Kalau hari-hari nak berdebat, ia tak akan berkesudahan dan tak akan membantu,
“Yang kita mahu adalah penyelesaian (isu kebajikan veteran),” katanya.
Mengulas himpunan veteran di Tugu Negara pada 6 Jun lalu, Menteri Kanan Pertahanan menyatakan perkara tersebut tidak akan menidakkan usaha pihaknya untuk meneruskan agenda membela nasib golongan veteran.
“Saya tengok bahawa ianya tak akan meminggirkan dan menidakkan usaha kita selama ini untuk sentiasa memberi pembelaan dan melihat kepada kedudukan veteran-veteran,
“Usaha kita untuk meneruskan agenda pembelaan veteran adalah berterusan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Hishammuddin menyatakan pembayaran pencen terbitan kepada balu dan panel penasihat pengampunan telah sedia untuk dijalankan.
Menurut beliau, kedua-dua perkara tersebut telah diumumkan semasa Sambutan Ulang Tahun Veteran ATM Ke-100 Tahun di Dataran Pahlawan pada 21 Mei lalu.
“Dua perkara yang saya dah nyatakan semasa sambutan di Putrajaya baru-baru ini telah pun siap untuk diteruskan,
“Apa yang saya ucapkan di majlis berkenaan, saya akan tetap pegang ia sebagai satu perkara yang tidak akan dikompromi,” kata Hishammuddin. – airtimes.my