Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 123 anggota, pegawai berjaya tempuh azab 12 minggu untuk jadi Komando

123 anggota, pegawai berjaya tempuh azab 12 minggu untuk jadi Komando

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=RqdUohrr01U[/embedyt]

 

SUNGAI UDANG, 4 Jun – Disarungkan beret hijau di kepala dan dianugerahkan pisau komando antara kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi 123 pegawai serta anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas berjaya menamatkan latihan Kursus Asas Komando.

Penuntut yang berjaya ini adalah terdiri daripada seorang pegawai dan 122 anggota daripada pelbagai kor perkhidmatan TDM kini menjadi ahli keluarga Gerup Gerak Khas (GGK).

Mereka merupakan sebahagian daripada 277 penuntut yang menjalani latihan Kursus Asas Komando pada kali ini.

Kejayaan dalam mengharungi cabaran 12 minggu sudah menjadi satu detik yang dinanti-nantikan setelah mencurahkan keringat demi melayakkan diri sebagai warga GGK.

Mereka dianugerahkan beret hijau dan pisau komando pada Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2022 yang disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, hari ini.

Beliau dalam ucapannya menjelaskan, pengambilan anggota untuk kursus ini hanya ditawarkan kepada mereka yang bersukarela serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi.

Jelasnya, selama 12 minggu, penuntut telah mengharungi pelbagai pahit getir dan cabaran yang telah menguji keupayaan, ketabahan dan kesabaran mereka.

“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan Tentera Darat Malaysia (TDM), malah ianya juga menjadi kebanggaan keluarga saudara-saudara yang turut hadir pada hari ini,

“Sepanjang kursus, saudara-saudara telah menunjukkan kemampuan serta semangat waja yang diperlukan oleh pasukan Gerak Khas,

“Diatas prestasi yang telah ditunjukkan disepanjang kursus ini, maka pada hari ini saudara-saudara dianugerahkan Beret Hijau yang menjadi lambang keagungan Gerak Khas. Ini bermakna saudara-saudara telah diterima sebagai warga Gerak Khas. Syabas diucapakan,”katanya.

Dalam sama yang sama, Nubli mengingatkan bahawa keagungan Beret Hijau harus sentiasa dipelihara kerana ia merupakan maruah dan kebanggaan Gerak Khas.

Pada majlis kali ini, Leftenan Muda Mohamad Imran Mohamad Rusni dari Rejimen Artileri Diraja (1 RAD) diumumkan sebagai penuntut Keseluruhan Terbaik kursus.

Leftenan Muda Mohamad Imran Mohamad Rusni dari Rejimen Artileri Diraja (1 RAD) diumumkan sebagai penuntut Keseluruhan Terbaik Kursus Asas Komando Siri 1/2022.

Turut hadir, Komandan PULPAK, Kolonel Zulkinine Yunus; Pengarah Gerak Khas, Kolonel Mohd Fouzi Sulaiman, veteran GGK dan keluarga penuntut kursus.

Kursus Asas Komando Siri AK/1/2022 telah bermula pada 14 Mac dan tamat pada 5 Jun 2022. Para penuntut perlu menempuhi pelbagai cabaran yang menguji tahap kemahiran ilmu medan perang, kekuatan mental dan fizikal menerusi latihan seperti latihan peringkat kem, peringkat hutan, Jalan Lasak (Long March) 160 kilometer, peringkat paya serta peringkat laut.

Terdahulu, acara dimulakan dengan demonstrasi serbuan pantai dan menyelamatkan tebusan diikuti Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas dan penyerahan bendera kursus.

Demonstrasi ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan 11 RGK dan 21 GGK sebagai tunjang kedaulatan negara dalam menghadapi ancaman semasa selain perisai pertahanan negara.

Seramai hampir 800 pengunjung termasuk ahli keluarga penuntut hadir untuk menyaksikan upacara yang bersejarah ini setelah 2 tahun ia diadakan secara tertutup berikutan wabak pandemik melanda negara.- airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply