[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Y6YQibhY3iM[/embedyt]
PORT DICKSON, 6 Jun – “Saya bangga dapat berkhidmat sebagai seorang anggota tentera” kata Perajurit Muda Santhis Kumar Candran.
Perajurit Muda Santhis Kumar Candran dari Kompeni Hotel berkata, beliau teruja kerana berjaya menamatkan latihan selama 6 bulan di Pusat Latihan Asas Tentea Darat (PUSASDA), baru-baru ini.
Beliau berkata, impian untuk menjadi seorang anggota tentera ini juga mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapanya dan ia menjadi semangat untuk meneruskan hingga tamat latihan.
“Saya memang berminat dengan tentera dan mendapat persetujuan kedua ibu bapa saya untuk mengejar impian saya,
“Sebelum saya memasuki tentera, saya seorang yang susah untuk ditegur, tetapi bila sudah menjalani latihan terdapat pelbagai perkara yang telah saya pelajari,” katanya ketika ditemui selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21 di PUSASDA, pada 28 Mei lepas.
Santhis menjelaskan, pada permulaan latihan, agak sukar untuknya mengikut segala jadual yang ditetapkan, namun apabila sudah hampir 2 bulan, beliau dapat menyesuaikan diri dan serasi dengan keadaan.
Manakala, Ibu kepada Santhis Kumar, Vijaya Krishanan, 48, berkata, beliau gembira kerana anaknya berjaya menamatkan latihan selama 6 bulan dan membanggakan nama keluarga.
“Pada awalnya saya berat hati untuk membenarkan beliau (Santhis Kumar) memasuki tentera, kerana rakan-rakan dipejabat mengatakan tentera perlu menjaga mental semasa latihan dan bekerja,
“Saya mencadangkan agar anak saya memilih bidang pekerjaan yang lain seperti bekerja di pejabat atau sebagainya tetapi anak saya tetap dengan pendiriannya,” katanya. – airtimes.my