KUALA LUMPUR, 1 Jun – Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan semula sistem percukaian barang dan perkhidmatan (GST).
Majlis Presiden PH dalam kenyataan berkata, dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik COVID-19.
“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak. Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat,” katanya.
Kenyataan bersama ini dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
Menurutnya, pada ketika persepsi tatakelola serta urustadbir kerajaan belum pulih akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Tatkala Malaysia berada di kedudukan ke-62 dalam indeks persepsi rasuah Transparency International serta kedudukan ke-2 dalam indeks kapitalisme kroni (crony-capitalism index) The Economist, adalah tidak munasabah kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urustadbir kerajaan telah berjaya dilaksana,
“Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH berkata, Perdana Menteri juga perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihanraya yang lalu.
“Oleh itu, PH tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu ini terus membelenggu rakyat,” jelasnya.
Terdahulu, Ismail Sabri dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat. -airtimes.my