Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Keupayaan TUDM mesti seiring dengan teknologi tahap ancaman semasa – Agong

Keupayaan TUDM mesti seiring dengan teknologi tahap ancaman semasa – Agong

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=imCihSSczI0[/embedyt]

 

SUBANG, 1 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar seluruh warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diterap dengan kemahiran mampan sejajar dengan evolusi pembangunan dalam membentuk sebuah angkatan udara masa hadapan yang kredibel.

Baginda bertitah menjelaskan, peningkatan keupayaan warga udara berasaskan teknologi akan dapat memacu TUDM ke arah pembentukan modal insan yang berimpak tinggi.

“Bagi memastikan TUDM sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman, keupayaan pertahanan udara perlu juga melalui transformasi secara menyeluruh dan holistik selari dengan perkembangan teknologi ketenteraan semasa,

“Aplikasi teknologi terkini bukan sahaja terhad kepada peningkatan keupayaan pesawat terbang, malahan ianya juga perlu meliputi peningkatan keupayaan kejuruteraan, logistik, latihan dan pengurusan ruang udara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas mencemar duli berangkat ke Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-64 yang diadakan di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berangkat ke Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-64 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Jelas baginda, dalam era perkembangan teknologi serta persekitaran geostrategik serantau dan antarabangsa yang dinamik, pembangunan kapasiti warga udara dan transformasi keupayaan perlu bergerak seiringan dalam membentuk sebuah angkatan udara masa hadapan yang boleh dipercayai.

“Semua ini demi mendukung pertahanan komprehensif negara dan memperkukuh perkongsian berwibawa di peringkat serantau dan antarabangsa,” titah baginda lagi.

Yang di-Pertuan Agong yakin menerusi pembangunan kapasiti warga udara dan transformasi keupayaan sejajar teknologi terkini, TUDM sebagai sebahagian daripada elemen pertahanan negara akan dapat menjamin kesejahteraan, kestabilan, keamanan dan kelangsungan ekonomi negara.

Tegas baginda, TUDM sebagai tonggak utama mempertahankan ruang angkasa negara, diibaratkan sebagai sebuah perisai yang melindungi rakyat dan segenap kemakmuran negara selari dengan tema ‘Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara’ pada sambutan kali ini.

“TUDM kini berada di atas landasan tepat menuju ke arah pembentukan sebuah angkatan udara masa hadapan yang berspektrum penuh,

“Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa pelbagai usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para panglima, barisan kepimpinan, perwira dan perajurit TUDM, sepanjang 64 tahun yang lalu,” titah baginda.

Terdahulu, ketibaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Muhaini Sultan Ahmad Shah dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM serta isteri.

Buat pertama kali helikopter AW 139 membuat terbang lintas hormat bersama helikopter EC 725 AP.

Perbarisan Istiadat ini melibatkan seramai 23 orang pegawai dan 420 anggota yang diketuai Leftenan Kolonel Hassan Basri Tajul Arifin TUDM.

Kontinjen perbarisan turut membawa Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu Panji-panji Kolej Tentera Udara, No 10 Skuadron, No 12 Skuadron, No 15 Skuadron , No 16 Skuadron, No 18 Skuadron dan No 20 Skuadron bersama 4 Skuadron Pengawal.

Perbarisan pada kali ini turut disertai dengan terbang lintas hormat pesawat-pesawat TUDM terdiri daripada pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, BAE Hawk dan F/A-18D Hornet; Pesawat angkut A400M dan pesawat latihan PC-7 MKII. Buat pertama kali helikopter AW 139 turut membuat terbang lintas hormat bersama helikopter EC 725 AP. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!