Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini telah pun mengapai usia 64 tahun semenjak penubuhannya pada 1 Jun 1958.
Bermula sebagai pasukan sokongan udara pada awal usia negara mengecapi kemerdekaan, TUDM kini menjadi lembayung kekuatan dan pertahanan kedaulatan ruang udara Malaysia.
Sepanjang usia penubuhannya, TUDM telah mengalami pelbagai proses transformasi bagi mempertingkatkan keupayaannya bagi memastikan angkatan udara ini relevan dalam menghadapi ancaman semasa.
TUDM telah mengorak langkah ke era supersonik dengan penerimaan pesawat pejuang F-5B Freedom Fighter dan F-5E Tiger II pada tahun 1975. Perolehan ini dilaksanakan bersama “Peace Strike” dengan kerjasama kerjasama pertahanan antarabangsa.
Pada era 1960-an , TUDM mula memperolehi helikopter S-61 Nuri dan pada era 1970-an pula TUDM mengoperasikan pesawat pengangkut C-130H Hercules
Evolusi dan modenisasi ini diteruskan lagi dengan perolehan jet-jet pejuang generasi ke-4 pada era 1990-an hingga dekad pertama tahun 2000.
Pada masa yang sama, TUDM telah memasuki era pertempuran udara Beyond Visual Range (BVR) dengan perolehan misil BVRAAM yang didatangkan bersama dengan pembelian jet pejuang MiG-29N dan F/A-18D Hornet.
TUDM sebelum ini melancarkan Pelan Transformasi Air Force Next Generation (AFNG) selama 10 tahun yang telah tamat pada akhir tahun 2020. Pada era ini, TUDM telah memperolehi helikopter EC-725 dan pesawat pengangkut strategik A400M.
Perancangan ini kemudiannya digantikan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55). Pada ketika ini, CAP55 berada di fasa pertama yang akan tamat pada tahun 2030. Dalam erti kata lain, fasa ini merangkumi 2 siri Rancangan Malaysia (RMK) iaitu RMKe-12 dan RMKe-13.
Melihat perancangan fasa ini, TUDM dijangka akan mula mengoperasikan pesawat Lead-in Fighter Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA), mengoperasikan pesawat tanpa pemandu aras sederhanan (MALE UAS), helikopter utiliti baharu dan peningkatan upaya sistem pertahanan udara.
AFNG, CAP55: Kuasa udara menjadi tumpuan
Seperti yang kita sedia maklum, CAP55 Fasa I merupakan kesinambungan kepada AFNG yang bermatlamat untuk menjadikan TUDM sebagai satu angkatan udara berspektrum penuh. Objektif CAP55 fasa I pula adalah untuk memantapkan kuasa udara yang mampu diaplikasikan secara berkesan dan kredibel sebagai sebuah angkatan yang berspektrum penuh serta peneraju utama pertahanan Domain Udara.
Walaupun pelbagai nama dan fasa, kesemua pelan pembangunan TUDM sudah tentu meletakkan kuasa udara sebagai objektif utama.
Kuasa udara atau air power merupakan satu jujukan kuasa yang penting kepada negara, sama ada semasa konflik mahupun aman. Ia merupakan satu perkara yang tidak boleh dikompromi terutamanya dalam mempertahankan keutuhan wilayah, kelangsungan kemakmuran dan kedaulatan negara.
Tema sambutan Ulang Tahun TUDM ke-64 pada tahun iaitu ini “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara” merupakan gambaran peranan angkatan udara itu sebagai tonggak utama dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara.
Tema sambutan ulangtahun ke-64 TUDM pada tahun iaitu “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara” merupakan gambaran peranan angkatan udara itu sebagai tonggak utama dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara.
Hakikat Malaysia sebagai sebuah negara strategik yang terletak di tengah laluan perdagangan antarabangsa dan juga sebuah wilayah maritim adalah tidak boleh disangkal lagi.
Negara mempunyai zon maritim seluas 603,210 kilometer per segi dan keluasan tanah keseluruhan sebanyak 329,860km2. Kedua-dua kawasan ini dilitupi dengan kawasan ruang udara yang luas dan perlu dipertahankan oleh TUDM.
Tambahan pula, lebih 900,000 penerbangan menggunakan ruang udara Malaysia dalam tempoh setahun. Dari segi ekonomi, sebanyak 1.26 juta tan muatan dikendalikan di lapangan terbang dan industri penerbangan telah menyumbang 3.5 peratus pendapatan (Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK) setahun.
Lipatan sejarah dunia termasuk Kesultanan Melayu Melaka telah membuktikan kemakmuran ekonomi dan jatuh bangun sesebuah negara berkait rapat dengan keupayaan sesuatu kerajaan untuk menjamin keselamatan sesuatu laluan perdagangan.
Dalam konteks ini, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan rakan komuniti global yang berwibawa perlu berusaha dalam memastikan laluan-laluan udara di sekelilingnya selamat dilalui oleh semua pihak.
Ruang udara negara perlu dilindungi, dipertahankan dan sebarang pencerobohan mahupun ancaman perlu ditangani bagi memastikan keutuhan wilayah serta kedaulatan Malaysia terjaga.
Peranan dan kepentingan TUDM sebagai perisai ruang udara negara diterjemahkan dengan keupayaan angkatan udara dalam memelihara serta menjaga kedaulatan tanah air. TUDM perlu diperkasa dari segi aset serta modal insan agar ia mampu melaksanakan peranan dengan lebih berkesan.
TUDM perlu diperkasa dari segi keupayaan aset tempur dan aset sokongan agar keamanan, keselamatan, dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara.
Sokongan padu daripada rakyat dan kerajaan adalah elemen yang amat penting dalam mendukung hasrat yang diaspirasikan oleh TUDM di dalam Pelan Strategiknya (CAP55). Warga Malaysia seharusnya memperkasakan budaya Celik Pertahanan agar negara ini sentiasa AMAN, MAKMUR dan BERDAULAT. – airtimes.my